SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sementara umat Islam seharusnya bersyukur dengan segala yang dikurniakan oleh Allah SWT, mereka juga tidak boleh leka dan lalai.
Sehubungan baginda mahu umat Islam perlu terus memperkukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan, serta mengelakkan sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri serta menjadikan apa yang berlaku di luar negara sebagai pedoman dan pengajaran.
Dalam titah ucapan sempena sambutan Aidilfitri melalui Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah baginda mengambil maklum tentang perkembangan semasa di peringkat global khususnya konflik dan peperangan yang berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat yang memberi kesan besar kepada umat Islam di seluruh dunia.
‘’Justeru, ke arah mendepani sebarang ketidaktentuan khususnya impak kepada ekonomi, Beta menyeru agar setiap rakyat bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk berhati-hati dalam berbelanja, bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”,’’ titah baginda.
Baginda berharap seluruh rakyat jelata daripada peringkat pemimpin, ahli politik sehinggalah kepada rakyat biasa, memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan memakmurkan negara.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1447Hijrah dalam suasana yang aman dan Sentosa.
Titah baginda setelah sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan, tibalah Syawwal yang diraikan dengan penuh rasa syukur, kegembiraan serta semangat ukhuwah.
‘’ Beta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya. Semoga sambutan Aidilfitri ini membawa keberkatan, kebahagiaan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,’’ titah baginda.


