ANGGOTA Bomba mengambil masa selama 12 jam untuk memadam kebakaran di tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung, Nibong Tebal.
Seramai 24 anggota daripada lima balai terlibat dalam operasi pemadaman, dibantu 10 pasukan sukarela, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).
Dilaporkan bomba giat memadam kebakaran di tapak berkenaan sejak awal pagi tadi.
Lapan aliran pancutan digunakan bagi mengekang api daripada terus marak ke kawasan lain, manakala dua jengkaut digunakan untuk menghalang kebakaran merebak serta memudahkan bomba ‘menyerang’ api.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” kata Pusat Gerakan Operasi Bomba Pulau Pinang dalam kenyataan.
Menurut pusat itu, kebakaran berjaya dikawal pada 11.55 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada 5.13 petang. K
‘’Kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan kebakaran padam sepenuhnya dan tiada kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.55 petang.
‘’Bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.40 pagi tadi. Setibanya di lokasi pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan kawasan sisa pepejal dengan anggaran keluasan 10,000 kaki persegi,’’ kata kenyataan tersebut.


