Akibat Trump jahil jadi ‘pak turut’ Netanyahu,  AS dijangka bazir RM4.7 trilion

PADA mulanya Amerika Syarikat khususnya Presiden Donald Trump yang menjadi ‘pak turut’ kepada rejim Zionis pimpinan penjenayah antarabangsa Benjamin  Netanyahu merasakan perang melawan Iran adalah mudah.

Trump dan Netanyahu berkhayal apabila menganggap pemerintah Republik Islam itu boleh dijatuhkan atau dihancurkan seperti mana mereka lakukan ke atas Hamas di Gaza. Tetapi mereka lupa Iran sebuah negara. Iran bukannya organisasi seperti Hezbollah atau Hamas.

Akibatnya, kedua-dua pemimpin berjiwa pengganas itu terkejut dengan serangan balas Iran yang kini semakin menghancurkan Tel Aviv dan beberapa wilayah di Israel. Pada masa sama kepentingan Amerika Syarikat di Asia Barat turut menjadi sasaran Iran.

Sehubungan itu semakin banyak analisis dari Amerika Syarikat memberi amaran bahawa perang yang dikaitkan dengan agenda Trump terhadap Iran kini memasuki fasa kritikal, dengan perubahan matlamat strategik, peningkatan kos yang pantas serta tekanan politik yang semakin memuncak di dalam dan luar negara.

Laporan daripada media utama Amerika menunjukkan konflik tersebut kini menggabungkan peningkatan ketenteraan dengan tekanan ekonomi dan perpecahan politik. Situasi ini menghasilkan peperangan yang tidak jelas arah tuju serta membawa implikasi yang semakin besar kepada pembayar cukai Amerika.

Satu analisis rencana pendapat oleh The New York Times menganggarkan bahawa kos perang mencecah sekitar AS$1.3 juta seminit (RM6.11 juta seminit) sepanjang enam hari pertama.

Penulis analisis itu menyatakan bahawa angka tersebut bukan sekadar mencerminkan beban kewangan, malah menunjukkan perbezaan ketara antara perbelanjaan perang dan peluang domestik yang terlepas.

Menurut mereka, sebahagian kecil daripada dana tersebut berpotensi mengurangkan masalah kekurangan zat makanan kanak-kanak global secara signifikan serta menyelamatkan sehingga 1.5 juta nyawa setiap tahun.

Mereka turut menambah bahawa hanya dua minggu perbelanjaan ketenteraan sudah mencukupi untuk membiayai pendidikan universiti percuma bagi setiap keluarga Amerika yang berpendapatan bawah AS$125,000 (RM587,500) setahun.

Pakar ketenteraan yang dipetik dalam laporan itu memberi amaran bahawa jumlah keseluruhan kos perang boleh menghampiri AS$1 trilion (RM4.7 trilion), sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai keutamaan perbelanjaan Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan The New York Times mendedahkan bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan operasi ketenteraan di Iran.

Langkah ini dilihat sebagai pengunduran daripada matlamat awal, khususnya cadangan untuk menukar rejim di Tehran. Trump menyatakan bahawa Amerika Syarikat kini “sangat hampir mencapai objektifnya,” sambil mencadangkan bahawa pembukaan semula Selat Hormuz seharusnya dipikul oleh negara lain.

Pentadbiran beliau kini dilihat memberi tumpuan kepada matlamat yang lebih terhad, termasuk melemahkan keupayaan ketenteraan Iran serta melindungi sekutu serantau, berbanding mendorong perubahan politik secara menyeluruh.

Trump juga dilaporkan melonggarkan pendiriannya terhadap program nuklear Iran, apabila tidak lagi menuntut penghapusan sepenuhnya stok bahan api nuklear negara itu, sebaliknya menekankan keupayaan Amerika untuk bertindak balas sekiranya Iran membangunkan semula program tersebut.

Penganalisis berpendapat perubahan ini mencerminkan tekanan domestik yang semakin meningkat. Harga bahan api di Amerika Syarikat dilaporkan meningkat kepada sekitar AS$4 segelen (RM18.80 segelen), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan ekonomi perang serta keperluan pembiayaan besar bagi menambah semula stok senjata.

Analisis oleh Newsweek turut menonjolkan percanggahan sejarah. Trump sebelum ini mengkritik Perang Iraq sebagai antara keputusan terburuk dalam sejarah Amerika dan berjanji untuk menamatkan “perang tanpa penghujung”.

Namun, hanya tiga minggu selepas kempen ketenteraan di Iran bermula, beliau telah memohon AS$200 bilion (RM940 bilion) dana kecemasan daripada Kongres—jumlah yang melebihi permintaan awal bagi pencerobohan Iraq 2003 walaupun selepas mengambil kira inflasi.

Pentadbiran Trump menjelaskan peningkatan kos ini berpunca daripada penggunaan senjata moden berteknologi tinggi seperti peluru berpandu Tomahawk missile yang dianggarkan bernilai sekitar AS$3.5 juta seunit (RM16.45 juta seunit).

Menurut laporan, tentera Amerika telah menyasarkan lebih daripada 7,000 lokasi di Iran dalam tempoh tiga minggu, menyebabkan stok peluru berpandu kruis dan senjata berpandu ketepatan tinggi susut dengan cepat.

Dalam tempoh hanya 12 hari, kos operasi dianggarkan mencecah AS$16.5 bilion   (RM77.55 bilion), menandakan kadar perbelanjaan yang sangat tinggi dan berpotensi sukar untuk dikekalkan dalam jangka masa panjang.

Persoalan juga timbul apakah negara-negara di Asia Barat termasuk Arab Saudi akan bersedia menjadi ‘pendamping’ kepada AS dan Israel dengan alasan  negara mereka dicerobohi Iran? Sama-samalah kita tunggu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img