IRAN yang secara jelas mengaitkan konfrontasi berterusan negara itu dengan Amerika Syarikat dan Israel dengan perjuangan rakyat Palestin, menegaskan bahawa tindakan ketenteraan adalah sebahagian daripada komitmen serantau yang lebih luas.
Jurucakap Markas Komando Khatam al-Anbiya, Ibrahim Zolfaghari, menekankan bahawa kedudukan Iran bukan sahaja terhad kepada mempertahankan wilayahnya sendiri.
Sebaliknya, beliau memaparkan konflik itu sebagai sokongan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza, dalam naratif ketahanan dan solidariti serantau.
Zolfaghari menegaskan bahawa isu Palestin kekal sebagai elemen penting dalam identiti politik Iran, dan ia adalah persoalan keadilan yang membabitkan seluruh umat Islam.
Menurut beliau, tindakan ketenteraan Iran kini perlu difahami dalam konteks yang lebih luas, melangkaui sekadar pembalasan atau pertahanan negara.
‘’Tehran melihat operasi ketenteraannya sebagai sebahagian daripada perjuangan menentang penindasan di rantau ini, dengan rakyat Palestin sebagai fokus utama,’’ katanya dalam perutusan khas.
Zolfaghari menekankan bahawa Palestin bukan isu sampingan atau simbolik, tetapi paksi utama dalam pandangan serantau Iran.
‘’ Sejak Revolusi Islam, perjuangan Palestin kekal sebagai elemen penting dalam wacana politik Iran,’’ katanya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak bersendirian dan Tehran komited untuk terus memberikan sokongan “dalam semua keadaan” sehingga hak mereka dipulihkan.
“Hari ini, kami bukan sahaja berjuang untuk mempertahankan diri, atau sekadar membalas kematian para syuhada kami, tetapi juga mempertahankan hak rakyat Palestin dan umat Islam yang dizalimi.
‘’Palestin bukan hanya milik satu bangsa, tetapi merupakan perjuangan maruah, keadilan dan hak seluruh umat Islam. Kami berjanji berdiri teguh di sisi anda sehingga Palestin kembali bebas dan bermaruah,’’ tegasnya.
Kenyataan Zolfaghari dikeluarkan sehari selepas Abu Obeida, jurucakap tentera Briged Al-Qassam, mengaitkan serangan Iran dengan perjuangan Palestin.
Abu Obeida menggambarkan Iran sebagai “garis pertahanan maju” di rantau ini, menyatakan bahawa serangan peluru berpandu Iran adalah tindak balas bukan sahaja terhadap agresi terhadap Iran, tetapi juga terhadap perang ganas ke atas Gaza.


