Perang tanpa peluru: Manipulasi maklumat gugat persepsi dunia

KONFLIK Amerika Syarikat (AS) – Israel lawan Iran membuktikan bahawa pertempuran hub moden bukan sekadar di medan tempur tetapi dalam membentuk pemikiran, emosi dan keyakinan masyarakat global.

Konflik di Asia Barat hari ini tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai pertembungan ketenteraan antara negara. Di sebalik serangan dron dan peluru berpandu wujud satu dimensi peperangan yang jauh lebih halus tetapi berkesan iaitu peperangan maklumat.

Dalam konflik AS–Israel lawan Iran manipulasi maklumat, penyebaran naratif mengelirukan dan pembentukan persepsi global menjadi senjata strategik yang mampu mempengaruhi bukan sahaja pandangan masyarakat antarabangsa malah keputusan politik dan kestabilan ekonomi dunia.

Lebih membimbangkan, peperangan ini tidak mengenal sempadan. Ia menembusi ruang peribadi melalui media sosial, membentuk apa yang kita lihat, dengar dan akhirnya percaya tanpa kita sedari.

Hari ini, maklumat bergerak lebih pantas daripada fakta yang dapat disahkan. Video yang dipetik di luar konteks, imej yang dimanipulasi serta laporan yang tidak lengkap mampu mencetuskan gelombang emosi dalam masa yang singkat. Dalam keadaan ini, kebenaran sering tenggelam dalam arus naratif yang lebih menarik perhatian.

Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut mempercepatkan fenomena ini. Kandungan yang kelihatan sahih boleh dihasilkan dengan mudah menjadikan garis pemisah antara fakta dan persepsi semakin kabur. Ini mewujudkan satu realiti baharu di mana apa yang dipercayai masyarakat sering kali lebih berpengaruh daripada apa yang sebenarnya berlaku.

Lebih penting, manipulasi maklumat kini berfungsi sebagai alat tekanan strategik. Naratif tertentu boleh mempengaruhi pasaran global mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan tenaga malah memberi kesan kepada keputusan dasar sesebuah negara.

Dalam konteks ini, peperangan maklumat bukan lagi sekadar sokongan kepada operasi ketenteraan tetapi sebahagian daripada strategi utama konflik.

Kesan yang lebih luas ialah berlakunya polarisasi dalam kalangan masyarakat dunia. Konflik ini telah mencetuskan perpecahan pandangan yang ketara, sering kali dipengaruhi oleh maklumat yang tidak seimbang atau tidak lengkap.

Rakyat di pelbagai negara termasuk Malaysia turut terdedah kepada naratif global yang boleh membentuk persepsi terhadap sesuatu isu tanpa memahami keseluruhan konteks sebenar.

Bagi Malaysia, situasi ini membawa satu pengajaran penting. Walaupun negara tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut rakyat tetap terdedah kepada gelombang maklumat yang melangkaui sempadan.

Tanpa keupayaan menilai maklumat secara kritikal, masyarakat berisiko terpengaruh dengan naratif luar yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan dalaman.

Lebih mendasar, konflik ini menunjukkan bahawa peperangan masa depan mungkin tidak lagi bermula dengan serangan ketenteraan tetapi dengan pembentukan persepsi. Negara boleh dilemahkan melalui manipulasi maklumat yang menggugat keyakinan rakyat, menjejaskan ekonomi dan mencetuskan ketidakstabilan sosial.

Oleh itu, pendekatan terhadap keselamatan negara perlu dilihat dalam dimensi yang lebih menyeluruh. Selain kekuatan ketenteraan, keupayaan mengurus maklumat, membina naratif yang tepat dan meningkatkan kesedaran masyarakat menjadi elemen yang semakin kritikal dalam memastikan ketahanan negara.

Kesimpulannya, konflik AS–Israel lawan Iran membuka satu hakikat yang jelas. dalam dunia hari ini kekuatan tidak lagi diukur semata-mata melalui keupayaan ketenteraan tetapi melalui keupayaan mengawal persepsi. Dalam perang tanpa peluru ini yang menjadi taruhan bukan sahaja keselamatan fizikal tetapi juga kepercayaan dan kestabilan sesebuah negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img