Bunuh wartawan, sikap ganas Zionis tiada batas…. negara teluk terus jadi pengecut!

FOKUS AHAD

KEJAHATAN, kebiadaban dan keganasan Israel tidak pernah dan tidak mungkin ada dalam kamus kemanusiaan apatah lagi dalama peradaban manusia. Atas sokongan Amerika Syarikat, rejim itu yang diketuai oleh pengganas antarabangsa Benjamin Netanyahu bermaharajalela membunuh sesiapa sahaja.

Daripada janin bayi dalam kandungan hingga warga emas yang terlantar di atas katil semua pasti akan menjadi mangsa kebuasan rejim Zionis.

Terbaru mereka membunuh wartawan yang sedang dalam perjalanan menjalankan tugas mereka. Rangkaian media Al Mayadeen Media Network mengumumkan wartawannya di selatan Lubnan, Fatima Ftouni dibunuh semalam selepas sebuah kenderaan yang jelas ditanda sebagai kenderaan media menjadi sasaran serangan udara Israel.

Ketika kejadian, Fatima berada dalam kenderaan tersebut bersama wartawan Ali Shoeib serta adiknya, Mohammad.

Fatima sebelum ini aktif membuat liputan mengenai konflik berterusan di Lubnan selatan, menyampaikan keadaan sebenar di lapangan kepada masyarakat antarabangsa.

Menurut wartawan Al Mayadeen, Jamal Ghourabi, kenderaan tersebut diserang dengan empat peluru berpandu berketepatan tinggi. Serangan tidak berhenti di situ apabila pasukan perubatan yang tiba di lokasi turut menjadi sasaran, mengakibatkan seorang paramedik turut terkorban.

Insiden itu dilihat sebagai usaha jelas untuk menyasarkan petugas media serta pasukan penyelamat.

Fatima sebelum ini bertugas sebagai editor di platform Al Mayadeen Net, dan dikenali dalam kalangan rakan sekerja sebagai seorang yang berdedikasi serta komited terhadap kerjayanya. Apabila beralih ke lapangan sebagai wartawan barisan hadapan, beliau terus kekal membuat liputan walaupun dalam keadaan berbahaya.

Kematian Fatima bukanlah kejadian terpencil. Pada 21 November 2023, wartawan Al Mayadeen Farah Omar dan jurukamera Rabih Me’mari turut terkorban dalam serangan Israel selepas selesai siaran langsung.

Kemudian pada 25 Oktober 2024, dua lagi petugas media Al Mayadeen, Ghassan Najjar dan Mohammad Reda, juga dilaporkan maut dalam serangan yang didakwa menyasarkan media.

Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, ratusan wartawan dilaporkan terbunuh di kawasan konflik termasuk Lubnan, Gaza dan Tebing Barat.

Dalam perkembangan berkaitan, stesen televisyen Al-Manar TV turut meratapi pemergian wartawannya, Ali Shoeib, yang disifatkan sebagai tokoh penting dalam dunia kewartawanan konflik.

Ali Shoeib, yang dikenali sebagai Hajj Ali, telah membuat liputan di barisan hadapan di selatan Lubnan sejak 1992. Sepanjang lebih tiga dekad, beliau melaporkan pelbagai konflik termasuk pencerobohan 1993, Operation Grapes of Wrath pada 1996, serta pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan pada tahun 2000.

Beliau juga berada di lapangan ketika Perang Lubnan 2006, termasuk di kawasan pertempuran sengit di timur Lubnan.

Walaupun pernah cedera dan berdepan ancaman berulang kali, beliau terus menjalankan tugas sehingga akhir hayat, dan dianggap sebagai antara wartawan perang paling berani di Lubnan.

Walaupun kejadian wartawan dibunuh oleh Israel ketika bertugas bukanlah luar biasa tetapi sikap bisu, pekak negara-negara Islam khususnya di Asia Barat amat luar biasa. Kesemua negara itu hanya tahu mengecam dan mengutuk tetapi tidak ada tindakan keras diambil.

Tetapi apabila Iran melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat yang berada di negara-negara Arab itu, mula mereka bertindak balas termasuk mengancam untuk berpakat membalas serangan Iran.

Ternyata keberanian mereka hanyalah sesama negara Islam sedangkan Iran sendirian berjuang melawan rejim Zionis yang memusnahkan Gaza  dan membunuh  ratusan ribu rakyat Palestin.

Atas sebab itulah Israel tidak pernah berasa takut untuk melakukan apa sahaja ke atas negara-negara Islam. Ia kerana Zionis tahu selain Amerika Syarikat setia bersama mereka, termasuk melakukan kejahilan menghantar tentera membantu Israel, negara-negara Islam tidak akan dan tidak mungkin berbuat apa-apa.

Oleh itu wajar sekali Iran meneruskan serangan ke atas pangkalan tentera dan kepentingan AS di Asia Barat. Ia bagi memberi isyarat kepada negara-negara Teluk bahawa kebodohan dan sikap pengecut  mereka membantu Amerika Syarikat menyerang negara Islam lain akan memakan diri.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img