Oleh Shahbudin Embun
SEJAK Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih teraju pemerintahan negara, beliau tidak pernah sunyi daripada pelbagai ujian dan cabaran.
Hampir setiap langkah yang diambil sering dipersoalkan, khususnya oleh pihak pembangkang yang melihat segala usaha beliau secara negatif tanpa memberikan pengiktirafan sewajarnya.
Malah ada pihak mula beranggapan bahawa penggal ini mungkin merupakan penggal terakhir beliau sebagai Perdana Menteri. Namun begitu, terdapat beberapa faktor penting yang berpotensi memastikan beliau terus kekal memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Antara faktor utama ialah keupayaan beliau mengemudi strategi Grand Coalition (Gabungan Besar) secara fleksibel. Kekuatan Perdana Menteri tidak terletak pada dominasi satu parti semata-mata, tetapi pada kebolehan beliau mengurus politik koalisi secara dinamik dan pragmatik.
Pendekatan free for all sebelum pilihan raya memberi ruang kepada setiap blok menguji kekuatan masing-masing, namun kelebihan sebenar Anwar terserlah selepas pilihan raya nanti, iaitu keupayaannya menyatukan semula gabungan seperti PH, BN serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak melalui rundingan politik yang matang dan berpengalaman.
Di sinilah terletaknya kelebihan beliau sebagai seorang bridge builder—pemimpin yang mampu merapatkan jurang perbezaan dalam landskap politik yang semakin berpecah. Dalam konteks politik Malaysia hari ini yang tiada parti dominan, keupayaan membentuk gabungan pasca pilihan raya menjadi penentu sebenar siapa yang berkuasa.
Selain itu, kekuatan Anwar turut dipengaruhi oleh kelemahan blok lawan, khususnya Perikatan Nasional. Perpecahan dalaman, termasuk isu dalam Bersatu, sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan penyokong terhadap kestabilan gabungan tersebut.
Pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN malah dilihat belum cukup kuat untuk menyatukan dan memperkukuh kedudukan mereka. Dalam masa yang sama, rakyat semakin jemu dengan episod ketidakstabilan politik seperti Langkah Sheraton yang pernah menggugat pentadbiran negara.
Keinginan terhadap kestabilan kini menjadi keutamaan, dan naratif inilah yang sedang dibawa oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri.

Di peringkat antarabangsa pula, pengaruh Anwar dilihat semakin meningkat. Peranan aktif beliau dalam membincangkan isu ekonomi global serta konflik geopolitik telah memperkukuh imej Malaysia di mata dunia.
Usaha ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan rakyat tempatan terhadap keupayaan beliau mengangkat negara ke tahap yang lebih tinggi di persada antarabangsa.
Kejayaan menarik pelaburan asing juga menjadi indikator penting. Pelaburan ini bukan sahaja merancakkan ekonomi, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Faktor ini memberi kesan langsung kepada sokongan pengundi, kerana kestabilan ekonomi sering menjadi ukuran utama dalam menentukan pilihan politik.
Anwar juga dilihat sebagai pemimpin yang global ready iaitu sangat yakin dan berwibawa di pentas antarabangsa serta berperanan sebagai suara bagi dunia Islam dan rantau ASEAN.
Sekiranya beliau terus memainkan peranan signifikan dalam isu global, termasuk konflik Asia Barat, beliau berpotensi membina “aura kepimpinan” yang melangkaui sempadan politik kepartian dan menarik sokongan pengundi atas pagar.
Sebagai penyandang jawatan Perdana Menteri, beliau turut memiliki kelebihan strategik. Kedudukan ini membolehkan beliau memperkenalkan dasar-dasar berimpak tinggi menjelang PRU16, di samping mengawal naratif dan menonjolkan pencapaian kerajaan.
Dalam konteks ini, dasar seperti subsidi bersasar, kemasukan pelaburan asing dan bantuan kepada rakyat berpotensi menjadi game changer kepada gabungan kerajaan.
Bagaimanapun, realiti politik tetap berpaksikan kepada isu asas rakyat iaitu ekonomi, kos sara hidup dan peluang pekerjaan. Inilah faktor-faktor paling nyata yang akan menentukan sokongan pengundi.
Jika ekonomi berada dalam keadaan stabil dan inflasi terkawal, ruang kritikan akan menjadi sempit, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang sedia ada.
Sokongan dari Sabah dan Sarawak juga kekal sebagai faktor penentu. Parti-parti dari dua negeri ini lazimnya akan cenderung memilih kerajaan pusat yang stabil sebagaimana Kerajaan Madani hari ini.
Dalam hal ini, pendekatan Perdana Menteri yang lebih terbuka terhadap rundingan autonomi dan pembangunan memberikan kelebihan tambahan kepada beliau berbanding dengan beberapa pemimpin terdahulu.
Kesimpulannya, sentimen rakyat, terutamanya yang berkaitan dengan ekonomi, kos sara hidup serta peluang pekerjaan akan menjadi penentu utama kepada kejayaan Anwar nanti. Perlu diingatkan juga, dalam dunia politik sesuatu persepsi atau naratif itu boleh dibentuk, namun perkara realiti dalam kehidupan seharian yang akan menentukan kemenangan.
*Penulis adalah penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur).


