Tahap keselamatan anggota MALBATT di Lubnan dipertingkat – Khaled

SEMUA anggota MALBATT 850-13 diarahkan untuk tidak melaksanakan sebarang pergerakan operasi buat masa ini sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan arahan Markas pasukan pengaman UNIFIL. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tahap keselamatan turut dipertingkat kepada semua kontinjen di kawasan misi berdasarkan situasi semasa di Selatan Lubnan. 

‘’Langkah ini merangkumi pematuhan berterusan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), pengukuhan pelaksanaan Rules of Engagement (ROE), pemberhentian sementara pergerakan rondaan, peningkatan langkah Force Protection serta penilaian situasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan anggota MALBATT 850-13 sentiasa terpelihara,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan memandang serius perkembangan terkini situasi keselamatan di Selatan Lubnan susulan dua insiden berasingan dalam tempoh 24 jam melibatkan angota UNIFIL, termasuk letupan projektil berhampiran Adchit Al Qusayr serta insiden letupan Improvised Explosive Device (IED) yang melibatkan kontinjen Indonesia (INDOBATT). 

‘’Insiden-insiden tersebut telah mengorbankan anggota-anggota pengaman serta menyebabkan kecederaan serius kepada beberapa yang lain. Kementerian Pertahanan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera,’’ katanya.

Beliau berkata, Malaysia menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu. 

Mohamed Khaled memberitahu, pada masa ini, semua anggota MALBATT 850-13 disahkan berada dalam keadaan selamat. 

‘’Keselamatan anggota MALBATT kekal menjadi keutamaan utama Kerajaan. Segala penugasan dan pergerakan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img