
SALAH satu peperangan paling diingati ialah Perang Iran-Iraq yang dianggap konflik paling besar dan panjang dalam abad ke-20.
Ia berlangsung selama 8 tahun bermula 22 September 1980 – Ogos 1988. Jumlah mangsa terkorban 500,000 hingga 1 juta orang dalam perang yang berpunca daripada pertikaian sempadan mengenai kawasan Sungai Shatt al-Arab (laluan penting perdagangan minyak).
Kalau melihat kepada peperangan yang tercetus sudah tentulah, ramai merasakan tidak mungkin Iran-Iraq boleh berbaik semula, namun perang Iran untuk mempertahankan kedaulatan negara itu mendapat sokongan padu rakyat Iraq.

Mereka juga sanggup mengumpul wang untuk diberikan kepada rakyat Iran yang terjejas akibat kebiadaban Amerika Syarikat-Israel.
Justeru semalam, Presiden Iran Masoud Pezeshkian memuji keberanian rakyat dan pejuang Iraq yang berdiri bersama Iran dalam apa yang disifatkan sebagai perang pencerobohan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan rejim Zionis terhadap Republik Islam itu.
Menerusi satu kenyataan di platform X, Pezeshkian merakamkan penghargaan kepada rakyat, pihak berkuasa dan pejuang Iraq atas sokongan teguh mereka sepanjang konflik yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
“Rakyat Muslim Iraq dengan berani telah berdiri bersama Iran dalam perang yang tidak adil ini; keteguhan ini bukan berpunca daripada faktor geografi semata-mata, tetapi kerana sejarah, identiti dan nilai agama yang dikongsi bersama. Saya menghulurkan salam hormat kepada rakyat, pegawai dan para pejuang Iraq di bumi Mesopotamia. Saya menghargai ketabahan anda dan menegaskan komitmen kami,” tambah beliau.
Persoalannya kenapa negara-negara di Asia Barat lain tidak ada semangat atau jiwa seperti rakyat Iraq. Mereka bersedia mengenepikan perbezaan demi memberi sokongan kepada Iran untuk berjuang menentang Amerika Syarikat dan Israel yang dipimpin oleh dua pemimpin berjiwa pengganas iaitu Presiden Donald Trump dan penjenayah antarabangsa, Benjamin Netanyahu yang juga Perdana Menteri Israel.
Rakyat Iraq tahu apa yang berlaku di Iran adalah agenda Yahudi Zionis mahu meranapkan sebuah negara Islam yang kuat dan tidak tunduk kepada pakatan jahat Amerika Syarikat dan Israel. Dulu Iraq dan Libya dihancurkan oleh Amerika Syarikat. Ia memandangkan pemimpin kedua-dua negara itu menentang keras penjajahan era moden oleh negara kuasa besar itu.
Dunia huru-hara, kacau bilau kerana Amerika Syarikat. Perseteruan antara negara-negara Arab memudahkan Amerika Syarikat melaksanakan agendanya dengan menempatkan pangkalan tentera di negara-negara tersebut.
Berikutan sikap negara Arab itulah Amerika Syarikat mengambil kesempatan untuk menghancurkan mana-mana negara Islam yang pemimpinnya menentang mereka. Sehingga ke hari ini senario terus berlaku.
Apabila Iran diserang oleh Amerika Syarikat dan Israel, negara-negara Arab tidak menghalang malah mereka bersedia membenarkan pangkalan tentara AS di negara mereka digunakan menyerang Iran.
Namun mereka ‘melompat’ bagaikan ‘beruk kena belacan’ apabila Iran bertindak balas menyerang pangkalan-pangkalan itu. Negara-negara Arab yang sudah lama menjalin hubungan akrab dengan Amerika Syarikat dan ada antara mereka mempunyai hubungan dengan Israel, menganggap Iran sudah mencabul kedaulatan negara mereka.
Tetapi persoalannya apabila mereka membiarkan Amerika Syarikat menggunakan pangkalan tentera kuasa besar itu di negara Arab untuk menyerang Iran tidak dianggap mencabul kedaulatan Iran?
Terbukti rakyat Iraq jauh lebih berprinsip berbanding pemimpin-pemimpin Asia Barat. Rakyat Iraq tahu mereka tidak mendapat apa-apa dengan memberi sokongan itu kepada Iran, namun semua itu tidak penting, yang mustahak mereka tidak sanggup melihat sebuah lagi negara Islam dihancurkan oleh Amerika Syarikat-Israel.
Percayalah apabila Iran kalah dalam peperangan ini. Tidak akan ada mana-manapun negara Islam yang akan selamat daripada pencerobohan dan pencabulan pakatan Amerika Syarikat-Israel…kecuali negara Islam yang bersedia ‘menyembah’ dua negara itu demi kepentingan ekonomi mereka!


