MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembelian panik atau sorok stok beras walaupun bekalan sedia ada mencukupi sehingga hujung tahun.
Katanya, tindakan seumpama itu boleh menyebabkan stok yang ada habis dengan cepat.
”Nak bagi senang faham, kalau biasa kita beli 1 beg 10kg sebulan, jangan tiba-tiba beli sampai 4 beg. Kalau semua orang buat macam tu, jangka hayat stok akan cepat habis. Dari situ, pasaran boleh jadi tak stabil,’’ katanya ketika menjadi tetamu program Naratif malam tadi.
Mohamad berkata, orang ramai tidak memandang ringan soal gangguan pasaran kerana ia boleh menjejaskan stok barangan.
‘’Barang yang cukup boleh jadi tak cukup. Stok yang boleh tahan 6 bulan, boleh habis dalam 2 bulan saja. Bila bekalan makin kurang, harga pula akan naik. Yang paling terasa kesannya ialah golongan yang pendapatan mereka cukup-cukup makan.
‘’ Sebab itu jangan panik, jangan simpan stok berlebihan. Bertenang, dan mula berjimat daripada sekarang..berjimat cermat untuk panjangkan jangka hayat,’’ katanya.
Dalam konteks makanan, kata Mohamad, penjimatan yang dilakukan akan membolehkan stok yang adab ertahan lebih lama untuk semua orang.
Mengenai stok beras yang dikatakan cukup sehingga hujung bulan, Mohamad berkata, ia tidak menjadi masalah sebab sudah ada stok penimbal beras.
‘’Cara ia diurus pun jelas, setiap kali stok dikeluarkan, ia akan diganti semula dengan stok baharu. Maknanya, kalau hari ini kita keluarkan 1,000 MT beras, kita akan tambah balik 1,000 MT beras itu dalam masa terdekat.
‘’Jadi tak perlu risau sangat. Sistem ini memang direka supaya bekalan sentiasa berterusan. Yang penting, kita semua beli seperti biasa, jangan panik, dan kali ni lebih berjimat cermat. Beli apa yang perlu sahaja. Insya-Allah, kalau semua main peranan, kita boleh hadapi situasi ini dengan tenang dan terkawal,’’ katanya.


