PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina meletak jawatan susulan kegagalan Itali layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Gravina yang menerajui FIGC sejak 2018 berdepan tekanan hebat termasuk daripada kerajaan selepas kekalahan menerusi penentuan penalti kepada Bosnia dan Herzegovina dalam aksi playoff pada Selasa lalu.
FIGC dalam kenyataan memaklumkan satu mesyuarat agung luar biasa akan diadakan pada 22 Jun ini bagi memilih presiden baharu, manakala Gravina dijadual memberi penjelasan kepada jawatankuasa Parlimen pada 8 April mengenai keadaan bola sepak Itali.
Kali terakhir Itali layak ke Piala Dunia adalah pada 2014, manakala kejayaan terakhir mereka di pentas dunia ialah menjulang trofi pada 2006.
Walaupun tempoh pentadbiran Gravina menyaksikan kejayaan memenangi Euro 2020, beliau turut dikritik hebat susulan dua lagi kegagalan layak ke Piala Dunia, sekali gus menjadikan kedudukannya semakin goyah.
Menteri Sukan Itali, Andrea Abodi menyifatkan kegagalan terbaharu itu sebagai kekalahan muktamad dan menegaskan bola sepak negara itu perlu dibina semula dari asas.
Gravina membuat keputusan meletak jawatan selepas mengadakan pertemuan dengan wakil komponen utama FIGC termasuk liga Serie A, B dan C serta persatuan pemain dan jurulatih.
Beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti termasuk bekas presiden Jawatankuasa Olimpik Itali (CONI), Giovanni Malago, serta bekas Presiden FIGC, Giancarlo Abete.


