SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah susulan perselisihan faham dengan ahli keluarga di Kampung Pasir, Ulu Kelang, Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, laporan diterima pada 2 April kira-kira jam 6.40 petang apabila bapa mangsa menyedari anaknya tiada di rumah.
Menurutnya, remaja terbabit dikenali sebagai Muhammad Khalif Mohd Redzuan, berusia 14 tahun 11 bulan.
“Mangsa mempunyai ketinggian 176 sentimeter dan berat 55 kilogram, dengan lokasi terakhir dilihat di Lot 1051, Jalan Datuk Abu Samah, Kampung Pasir Hulu Kelang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan ahli keluarga.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau Pegawai Penyiasat, Sjn Azamil Makmor di talian 019-6004104.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta tidak membiarkan mereka bersendirian.
“Orang awam juga boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 sekiranya memerlukan bantuan segera,” katanya.


