Polis kenal pasti sekumpulan pelajar perempuan terlibat pergaduhan depan sekolah

POLIS mengenal pasti antara enam hingga 10 pelajar perempuan dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di Bedong yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kelmarin (13 Mei) lalu antara jam 1 hingga 2 petang sebelum rakaman video pergaduhan itu dikesan tular oleh polis kira-kira jam 2 petang semalam.

Insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di media sosial membabitkan sindir-menyindir dan tegur-menegur sebelum tercetus pergaduhan di luar kawasan sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya membuka tujuh kertas siasatan susulan kejadian itu selepas rakaman video pergaduhan tersebar luas tanpa sebarang laporan polis dibuat dalam tempoh hampir 24 jam.

Menurut beliau, susulan video tular itu, Ketua Balai Polis Bedong kemudian membuat laporan polis pada jam 5.30 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan segera.

“Setakat ini, kita telah mengenal pasti antara enam hingga 10 pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 16 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

“Sebanyak tujuh keterangan telah diambil bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu tidak membabitkan unsur gengsterisme, sebaliknya hanya membabitkan pelajar dari sekolah sama yang berselisih faham.

“Pihak sekolah sebenarnya telah cuba menyelesaikan konflik itu, namun pergaduhan tetap berlaku selepas mereka pulang dari sekolah.

“Hanya dua atau tiga pelajar dipercayai benar-benar bergaduh, manakala individu lain cuba meleraikan keadaan sehingga situasi dalam video kelihatan lebih serius,” katanya.

Beliau berkata, beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan seperti lebam pada badan, namun tiada penggunaan senjata dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis akan meneliti keperluan untuk menahan mana-mana individu yang terbabit bagi membantu siasatan, namun setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat.

“Setakat ini tiada reman dilakukan dan kita akan lihat kesesuaian sama ada perlu atau tidak untuk menahan mereka,” katanya.

Beliau berkata, polis sentiasa memberi perhatian serius terhadap insiden membabitkan pelajar sekolah dan memantau kandungan media sosial bagi mengesan kejadian yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Saya menasihatkan ibu bapa supaya segera membuat laporan polis sekiranya berlaku insiden seperti ini supaya tindakan cepat dapat diambil.

“Masyarakat juga diminta tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen negatif menyentuh isu agama, kaum dan bangsa susulan penularan video tersebut,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img