Tragedi Kebakaran: Wanita rentung di Nilai, lapan rumah musnah di Kota Bharu

DUA kebakaran berlaku malam tadi, seorang terkorban di Nilai manakala lapan buah rumah musnah di Kota Bharu.

DI NILAI, seorang wanita ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam rumah yang terbakar di Taman Mantin Baharu, Mantin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kediaman yang didiami dua beradik termasuk wanita berkenaan yang dikatakan mengalami gangguan kesihatan mental, musnah sepenuhnya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.33 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin bergegas ke lokasi.

“Pasukan yang turut dibantu BBP Nilai tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian dan mendapati sebuah rumah teres dianggarkan berkeluasan 54 meter persegi musnah 100 peratus.

“Terdapat seorang mangsa wanita ditemui rentung dalam bilik utama dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

DI Kota Bharu, lapan buah rumah musnah dalam kebakaran di Chabang Tiga, Kedai Buloh, Kota Bharu malam tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, Penguasa Bomba Mohd Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.55 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira seminit kemudian.

“Keseluruhan lapan rumah terlibat dalam kebakaran ini dengan lima daripadanya terbakar 100 peratus, manakala tiga terbakar sebahagian.

“Kebakaran dipercayai merebak dengan cepat disebabkan struktur rumah yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu serta kedudukan rumah yang terlalu rapat, iaitu sekitar kurang semeter antara satu sama lain,” katanya kepada media.

Mohd Farid berkata, keadaan cuaca yang berangin turut menyumbang kepada kebakaran yang cepat merebak ke rumah bersebelahan.

Dalam kejadian itu juga, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal berkuasa tinggi turut musnah terbakar, selain 30 tong gas..

“Terdapat juga kejadian letupan tong gas yang mempercepatkan lagi kebakaran dan menyukarkan operasi pemadaman pada peringkat awal,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img