DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan empat notis atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 23 premis dalam Operasi Bersepadu Pusat Penjaja Swasta Siri 4/2026 di Pertama Complex dan Bangunan KWSP, Jalan Raja Laut.
DBKL dalam kenyataannya berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta syarat yang ditetapkan ke atas pengusaha pusat penjaja swasta di ibu negara.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa ketidakpatuhan yang melanggar peruntukan Undang-Undang Kecil Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.
“Susulan itu, DBKL mengeluarkan empat notis penguatkuasaan membabitkan satu notis di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 30(1)(a), dua notis di bawah UUK 15(1)(b) dan satu notis di bawah UUK 15(1)(c),” menurut kenyataan itu.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, pemantauan berterusan penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, bersih dan selamat untuk warga kota.
“DBKL akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua premis penjaja mematuhi peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.






