Asyraf Wajdi salur ganti rugi fitnah RM50,000 ke akaun Wakaf Mara

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan wang ganti rugi berjumlah RM50,000 yang diterima susulan kemenangan kes saman fitnah akan dimasukkan ke dalam akaun Wakaf Mara bagi manfaat pelajar memerlukan.

Menurut Setiausaha Agung UMNO itu, keputusan tersebut dibuat selaras dengan janji bahawa wang berkenaan tidak akan digunakan untuk tujuan peribadi, sebaliknya disalurkan bagi membantu pelajar miskin, daif dan anak yatim.

“Sebagaimana janji saya, setiap sen RM50,000 wang ganti rugi tidak akan sesekali digunakan secara peribadi, bahkan saya sudah minta pengurusan Mara untuk memasukkan wang ganti rugi apabila diterima nanti ke dalam akaun Wakaf Mara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook susulan keputusan kes berkenaan hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi memaklumkan Mahkamah Tinggi Melaka merekodkan Penghakiman Persetujuan bahawa Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengakui mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap beliau dan Mara.

Katanya, defendan turut bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik serta memadamkan semua hantaran video di semua platform media sosial, selain membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Mara.

Beliau turut berharap kes berkenaan menjadi pengajaran supaya semua pihak lebih bertanggungjawab dan tidak mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang boleh menjejaskan reputasi individu serta institusi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img