MAHKAMAH Tinggi Shah Alam akan dimaklumkan pada 4 Disember depan mengenai langkah seterusnya dalam saman fitnah RM150 juta yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, beliau memohon supaya mahkamah memberikan ruang kepada anak guamnya untuk menentukan hala tuju kes berkenaan, mengambil kira keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu ketika ini.

“Kita semua sedia maklum mengenai keadaan Dr Mahathir. Saya memohon kepada mahkamah untuk memberikan beliau masa dan ruang bagi menentukan langkah seterusnya.
“Kami akan kembali ke mahkamah pada 4 Disember untuk pengurusan kes bagi memaklumkan mahkamah mengenai langkah beliau yang seterusnya,” katanya, lapor NST.
Pengurusan kes itu akan berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin.
Muhammad Rafique turut menyuarakan kebimbangan berhubung kesediaan, tahap kecergasan, keselesaan dan stamina Dr Mahathir ketika menghadapi prosiding mahkamah, mengambil kira faktor usia serta keadaan kesihatannya.
Beliau juga sedang mempertimbangkan kemungkinan memohon supaya prosiding dijalankan secara dalam talian, selain mengehadkan skop pemeriksaan balas.
Prosiding kes itu sebelum ini ditangguhkan pada Januari lalu selepas Dr Mahathir dilaporkan terjatuh ketika bersenam di rumah.
Dr Mahathir genap berusia 101 tahun pada 10 Julai lalu. Beliau juga tidak menghadiri Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam atas faktor kesihatan.
Dalam saman berkenaan, Dr Mahathir mendakwa Anwar memfitnahnya menerusi kenyataan yang menuduh beliau bersikap perkauman serta mengayakan diri sendiri dan keluarga sepanjang 22 tahun memegang jawatan Perdana Menteri.
Kenyataan yang dipertikaikan itu didakwa dibuat Anwar ketika berucap pada Kongres Nasional Khas PKR di Stadium Melawati, Shah Alam pada 18 Mac 2023.
Dr Mahathir menuntut ganti rugi teladan sebanyak RM100 juta dan ganti rugi am RM50 juta, menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan sebanyak RM150 juta.
Beliau turut menuntut permohonan maaf secara bertulis serta sidang media khas bagi membolehkan Anwar memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.





