JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi mengesan pemilik tanah yang terlibat dalam pembinaan penempatan haram warga asing di Setia Alam, Selangor.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada MBSA bagi mendapatkan pengesahan status pemilikan tanah berkenaan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab sebelum tindakan penguatkuasaan lanjut diambil mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan.
“Maklumat berkaitan pemilikan tanah diperlukan bagi membolehkan JIM mengambil tindakan lanjut termasuk terhadap mana-mana individu atau pihak yang terbabit dalam penempatan haram ini,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, JIM Selangor turut mengemukakan laporan rasmi kepada MBSA berhubung hasil pengesanan penempatan tersebut untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa tempatan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan penempatan warga asing terpencil di kawasan berbukit di Setia Alam yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asas termasuk surau, kedai runcit serta bekalan elektrik dan air.
Penempatan berkenaan dipercayai dibina secara haram dan menimbulkan persoalan mengenai dalang sebenar di sebalik kewujudannya.
Sehubungan itu, pihak berkuasa menegaskan siasatan akan diteruskan secara menyeluruh bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang terlibat, selain membanteras isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.


