Teknologi tak mampu ganti kebijaksanaan manusia buat pertimbangan moral – Azam

SETIAP individu perlu mempunyai halatuju jelas dalam kehidupan bagi memastikan nilai integriti terus menjadi pegangan meskipun teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, perkembangan pesat teknologi  tidak mampu menggantikan kebijaksanaan manusia dalam membuat pertimbangan moral.

“Teknologi tidak boleh membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah seperti manusia. Pemikiran kita adalah paling penting untuk menentukan tahap integriti diri.

“Hidup kena ada satu panduan dan halatuju. Jika tiada halatuju, maka identiti kemanusiaan itu akan hilang dan seseorang itu akan hilang arah,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika menyampaikan Syarahan Kepimpinan Alumni “Dari Kampus ke Negara: Kepimpinan Dalam Mendepani Cabaran Integriti” di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai hari ini.

Program itu dianjurkan bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman mahasiswa terhadap isu rasuah, integriti serta tatakelola, selain membina hubungan strategik dan memperkukuh jaringan kepimpinan antara universiti dan pelajar selain menyediakan ruang interaksi beradab serta berinformal bersama tokoh nasional.

Azam yang juga Alumni UTM turut menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah memerlukan iltizam politik, undang-undang yang jelas serta sokongan masyarakat bagi memastikan pelaksanaannya berkesan dan berterusan.

Katanya, SPRM kekal komited menjalankan siasatan tanpa memilih bulu termasuk terhadap individu berprofil tinggi sebagai langkah memastikan negara bebas daripada rasuah.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat berkata, integriti perlu bermula daripada diri sendiri, khususnya dalam kalangan mahasiswa sebagai bakal pemimpin negara.

“Siapakah diri kita ketika tiada siapa yang melihat? Inilah namanya integriti,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah universiti bukan sahaja diukur melalui kecemerlangan akademik, malah sejauh mana institusi itu mampu membentuk ekosistem berteraskan adab, nilai dan tanggungjawab sosial.

Program anjuran SPRM Negeri Johor dengan kerjasama UTM itu menjadi platform penting dalam memberi pendedahan menyeluruh serta memupuk pemikiran matang dalam kalangan mahasiswa agar mereka mampu menjadi pemimpin berintegriti pada masa hadapan.

Turut hadir Pengarah SPRM Johor, TPj Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Md Darus; Pegawai Kanan SPRM, Datuk  Azmi Alias; Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor, PKPj Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid serta pegawai-pegawai SPRM dan UTM.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img