Op Hazard 3.0: Kilang haram e-waste antara 110 premis diserbu, sitaan lebih RM55 juta

SEJUMLAH 110 premis termasuk kilang haram memproses sisa elektronik e-waste dan premis besi buruk diserbu dalam Op Hazard 3.0 dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara termasuk, Sabah dan Sarawak melibatkan nilai sitaan dianggarkan melebihi RM55 juta.

Operasi yang bermula seawal jam 7 pagi itu melibatkan kekuatan keseluruhan seramai 1,611 anggota dengan 1,089 daripadanya daripada PDRM merangkumi 126 pegawai kanan polis dan 963 anggota pangkat rendah.

DATUK Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi

Serbuan pihak berkuasa itu menyasarkan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram yang dikenal pasti memberi ancaman kepada alam sekitar serta melanggar undang-undang.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, operasi turut membabitkan agensi lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Sebanyak 110 premis diperiksa dengan 87 daripadanya dikesan positif menjalankan aktiviti berkaitan e-waste, termasuk 14 kilang haram,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu di Kawasan Perindustrian Jalan Pelabuhan Klang hari ini.

Katanya, pemeriksaan turut melibatkan 729 individu terdiri daripada 154 warganegara dan 575 bukan warganegara.

Setakat ini katanya, seramai 205 individu ditahan, melibatkan 39 warganegara, 66 bukan warganegara serta 100 pendatang tanpa izin.

Beliau berkata, jumlah rampasan melibatkan lebih 316 tan e-waste, 388 tan barang lusuh serta 10 tan lain-lain bahan.

Katanya lagi, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM55,228,165.25, melibatkan e-waste bernilai RM23.68 juta, barang lusuh RM2.53 juta dan lain-lain RM29.01 juta.

Produk akhir tersebut dipercayai akan dieksport ke luar negara termasuk China selepas diproses untuk dipasarkan kepada pelbagai sektor pembuatan di sana.

Kilang yang diserbu hari ini melibatkan aktiviti kitar semula untuk mendapatkan aluminium, timah, tembaga dan juga emas.

E-waste yang disita hari ini katanya, diimport dari China melibatkan pelbagai produk sebelum dieksport semula ke luar negara.

Tambahnya, Lembah Klang dikenal pasti sebagai antara lokasi utama serbuan susulan risikan mendapati kawasan itu menjadi pusat pemprosesan e-waste.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kira-kira 24 syarikat kini dalam siasatan berkaitan isu percukaian dan aliran kewangan, dengan penglibatan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM bagi memperkukuh siasatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat juga tangkapan membabitkan warga tempatan dan asing termasuk pendatang tanpa izin, namun jumlah terperinci masih dalam siasatan.

Katanya, Op Hazard 3.0 merupakan kesinambungan kepada operasi terdahulu bagi menangani pencemaran alam sekitar serta kemasukan e-waste secara haram ke negara ini.

Beliau berkata satu sidang media khas akan diadakan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Jumaat ini bagi memperincikan hasil penuh operasi termasuk jumlah tangkapan dan nilai rampasan keseluruhan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img