KENAIKAN harga minyak dalam pasaran tempatan bukan berpunca daripada kekurangan bekalan semata-mata, sebaliknya didorong peningkatan mendadak kos insurans perkapalan dan caj pengangkutan susulan ketidaktentuan geopolitik semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat beberapa perkembangan sementara yang meredakan keadaan, situasi keseluruhan pasaran tenaga dunia masih belum pulih sepenuhnya.
Menurut beliau, minyak yang dibeli sebelum tercetus perang kini berdepan kelewatan dan perubahan laluan penghantaran yang meningkatkan kos operasi.
“Kos minyak yang naik ini, yang diambil sebelum perang, tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang (untuk) beralih ke Pengerang itu kosnya meningkat kerana kos insurans yang melepasi 100 peratus.
“Kos pengangkutan sendiri, freight charges juga bertambah. Maknanya minyak yang asalnya itu sepatutnya rendah untuk diproses di Pengerang, itu sudah meningkat kosnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, hari ini.
Anwar turut menegur sikap beberapa orang politik yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak tepat mengenai punca kenaikan harga minyak sehingga mengelirukan rakyat.
“Ada ulas-ulasan, ada yang digelar sebagai ulama dan sebagainya, dia memberikan pandangan begitu. Ada ulama yang terkenal yang ada banyak pengikutnya yang beri pandangan umpamanya dengan mengatakan, ‘Oh tak betul, minyak tak naik, di Malaysia saja naik.’
“Itu fahaman kedangkalan ilmu yang ketara, tapi diselubungi oleh fahaman agama dan Al-Quran menyebabkan orang agak percaya. Tapi dia tidak membantu, malah mengelirukan,” ujarnya.
Menurut beliau, konflik geopolitik melibatkan Iran, Israel dan United States terus memberi tekanan kepada pasaran global serta memberi kesan langsung kepada harga minyak dunia.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memahami faktor sebenar kenaikan harga minyak dan tidak menyebarkan tafsiran yang boleh mengelirukan, sebaliknya membantu memberi penjelasan tepat kepada rakyat mengenai faktor sebenar kenaikan kos dan tekanan ekonomi semasa.


