KRISIS tenaga global susulan perang melibatkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk pulih sepenuhnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tempoh itu dimaklumkan sendiri oleh Emir Qatar berikutan kerosakan terhadap operasi gas yang memerlukan masa panjang untuk dipulihkan.
“Kalau pun selesai perang esok, menurut Emir Qatar yang maklum langsung pada saya, perang ini akan mengambil masa minimum tiga tahun untuk kerja-kerja pembaikan bagi membolehkan operasi gas dijalankan, manakala bagi mencapai prestasi penuh, ia dijangka memerlukan antara tiga hingga lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Menurut beliau, konflik berkenaan memberi kesan bukan sahaja kepada negara Teluk, malah tempiasnya turut dirasai ekonomi dunia termasuk Malaysia.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan walaupun rakyat berdepan tekanan kos sara hidup termasuk kenaikan harga diesel, keadaan di Malaysia masih terkawal berbanding beberapa negara lain yang berdepan krisis lebih serius.
“Jadi yang ditekankan dalam masalah ini, masalah ini berlaku. Hari ini kita bersyukurlah. Ada orang kata, ‘Apa Anwar ini, dalam keadaan ekonomi susah, harga diesel naik, suruh kita bersyukur.
“Itu pun satu masalah juga fahaman. Bersyukur ini kita masih bernafas, kita masih hidup, kita masih sihat. Ekonomi kita tak teruk macam negara jiran, belum beratur lagi di stesen minyak, belum tutup lagi 400 stesen minyak, belum terpaksa berjalan bekerja ke pejabat,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam, sektor swasta dan rakyat yang bersama-sama membantu kerajaan mendepani cabaran ekonomi semasa.
“Kerana kekuatan penjawat awam, sektor swasta, golongan pekerja, petani, semuanya bekerja sebagai satu pasukan untuk mengangkat, memperbaiki kehidupan keluarga, masyarakat dan akhirnya negara,” katanya.


