27 jenazah Rohingya bot karam selamat dikebumikan

SERAMAI 27 jenazah etnik Rohingya warga Myanmar yang ditemukan dalam tragedi bot karam di perairan Langkawi pada November tahun lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lama, Tualang, pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, proses pengecaman, bedah siasat dan pengurusan jenazah kesemua mangsa telah selesai sebelum pengebumian dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata, kesemua jenazah yang terdiri daripada 13 lelaki dan 14 wanita dikebumikan kira-kira jam 7.30 pagi dengan penuh tertib serta penghormatan mengikut hukum syarak.

“Segala urusan pengebumian berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai agensi yang terlibat.

“Kesemua mayat yang ditemui dalam insiden itu sebelum ini dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan pengecaman identiti, bedah siasat dan dokumentasi forensik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengebumian dilaksanakan berdasarkan nasihat pihak hospital dan dipantau oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

Beliau berkata, operasi pengurusan jenazah turut membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Adzli berkata, insiden itu dipercayai membabitkan sekumpulan migran yang cuba memasuki negara ini secara tidak sah melalui laluan laut.

“Siasatan berhubung punca kejadian, laluan kemasukan dan dalang yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran masih diteruskan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Media sebelum ini melaporkan sebuah bot yang dipercayai membawa kira-kira 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar, Bangladesh dan Rohingya pecah di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand pada 8 November tahun lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img