SERAMAI 670 warga asing ditahan menerusi Ops Gegar yang digerakkan Jabatan Imigresen di seluruh negara bermula Januari hingga 7 April lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 1,800 individu diperiksa sepanjang tempoh operasi berkenaan dijalankan.
Menurut beliau, Ops Gegar lazimnya tertumpu di premis hiburan bagi membanteras aktiviti tidak bermoral khususnya membabitkan warga asing.
“Tiga negara utama penyumbang warga asing yang ditahan ialah Thailand, diikuti China dan Vietnam.
“Ketiga-tiga negara ini menyumbang lebih 400 daripada keseluruhan 670 tangkapan dibuat,” katanya pada sidang media awal pagi tadi, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, antara alasan yang sering diberikan wanita warga asing ketika ditahan di pusat hiburan ialah mereka datang bersama suami atau mendakwa pasangan berada di rumah.
“Apabila kami buat serbuan dan tahan, akan ada alasan bahawa mereka mempunyai pasangan hidup warga Malaysia.
“Saya ingatkan, tiada masalah berkahwin dengan warga Malaysia, tetapi kami tetap akan semak status mereka. Jika tidak melakukan kesalahan, tidak perlu risau dan mereka boleh pulang selepas operasi selesai,” katanya.
Beliau menegaskan Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang imigresen walaupun mempunyai pasangan warga tempatan.


