Israel serang Lubnan secara besar-besaran lebih 250 terkoban, ribuan cedera

KEGILAAN negara pengganas Israel semakin tidak terkawal, apabila rejim Zioni situ melancarkan serangan udara besar-besaran  ke atas Lubnan mengorbankan lebih 250 orang dan mencederakan lebih 1,150 yang lain semalam.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata,  150 serangan udara dilaporkan berlaku dalam tempoh hanya dua jam, menggambarkan skala dan intensiti serangan yang menyasarkan pelbagai kawasan di seluruh negara, termasuk ibu negara Beirut, pinggir selatannya, selatan Lubnan, Lembah Bekaa, dan Gunung Lubnan. Kawasan perumahan serta infrastruktur awam menjadi sasaran utama pengeboman.

Pasukan Pertahanan Awam Lubnan mengumumkan bahawa seramai 254 orang terbunuh manakala 1,165 lagi cedera dalam serangan tersebut.

Di Beirut sahaja, 92 orang terbunuh dan 742 cedera, manakala kawasan pinggir selatan mencatatkan 61 kematian dan 200 kecederaan. Di wilayah Baalbek dan Hermel pula, masing-masing 18 dan 9 orang terbunuh dengan puluhan lagi cedera.

Kawasan lain turut terjejas teruk, termasuk Nabatieh (28 maut, 59 cedera), Alay (17 maut, 6 cedera), Saida (12 maut, 56 cedera), dan Tyre (17 maut, 68 cedera).

Tidak lama selepas tengah malam Khamis, sebuah pesawat perang Israel melancarkan serangan udara hebat ke atas pinggir selatan Beirut, menambah lagi kemusnahan dan jumlah korban yang semakin meningkat.

Pasukan perubatan dan kecemasan dilaporkan bergelut untuk menangani keadaan, dengan hospital menghadapi tekanan besar akibat jumlah mangsa yang meningkat secara mendadak.

Serangan ini berlaku selepas pengumuman gencatan senjata segera yang sepatutnya merangkumi Lubnan. Namun, Israel didakwa melanggar perjanjian tersebut dan meneruskan serangan besar-besaran yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam.

Serangan menyasarkan rumah, bangunan, dan infrastruktur di pelbagai kawasan, menyebabkan peningkatan mendadak korban serta kemusnahan meluas. Tindakan ini dilihat sebagai pelanggaran jelas terhadap usaha gencatan senjata dan mencerminkan dasar peningkatan konflik secara sengaja.

Sementara itu,  Hezbollah mengecam keras serangan tersebut dan menegaskan bahawa darah mangsa “tidak akan sia-sia”.

Dalam kenyataannya, Hezbollah menyifatkan tindakan Israel sebagai “pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk awam yang tidak bersalah”, serta menegaskan bahawa jenayah tersebut tidak akan dibiarkan tanpa balasan.

Gerakan itu turut mengulangi komitmennya untuk mempertahankan Lubnan dan menghadapi pencerobohan berterusan.

Ahli Parlimen Lubnan, Elias Jradi, menyatakan bahawa menghalang rakyat daripada mempertahankan diri adalah “jenayah terhadap kemanusiaan”.

Beliau turut menyalahkan “diamnya dunia” terhadap serangan tersebut dan mempersoalkan sikap rasmi kerajaan Lubnan yang dianggap tidak tegas dalam menghadapi keganasan berkenaan.

Menurut beliau, kenyataan rasmi yang mengutuk serangan Israel adalah “tidak mencukupi”, sambil menegaskan bahawa masyarakat Lubnan bersatu menentang pencerobohan tersebut.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa semasa akan dipertanggungjawabkan kerana menghalang usaha penentangan terhadap musuh.

Seruan untuk tindakan undang-undang semakin meningkat di tengah tekanan dalaman yang dilihat cuba melemahkan keupayaan pertahanan Lubnan. Serangan berterusan Israel serta peningkatan jumlah korban menunjukkan keadaan yang semakin meruncing dan membimbangkan di negara itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img