PERJALANAN dua lelaki berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Tanjung Skrang, Betong, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.46 petang itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Liang Sait, 64, manakala penumpang, Stanley Embawa Liang, 30, mengalami kecederaan parah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.07 petang dan mendapati sebuah Perodua Axia dipercayai terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan.
“Pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), manakala penumpang mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas penyelamatan kemalangan jalan raya (RTA Rescue Tool) bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh petugas KKM sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Sementara itu, mayat mangsa yang maut berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut membabitkan kerjasama polis dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang selepas kerja pembersihan lokasi selesai dijalankan.






