FOKUS JUMAAT
PASUKAN Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) ditubuhkan pada tahun 1978 selepas tercetusnya konflik besar antara negara pengganas Israel dan Palestin di Selatan Thailand, khususnya ketika rejim Zionis melaksanakan operasi ketenteraan dikenali sebagai Operation Litani.
Tujuan utama UNIFIL ialah mengawasi pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan, memulihkan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta membantu Kerajaan Lubnan mengembalikan kawalan di kawasan tersebut.
Mandat UNIFIL kemudiannya diperluas, terutamanya selepas Perang Lubnan 2006 termasuk pemantauan gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah.
Malaysia mula menyertai UNIFIL pada tahun 2007 sebagai sebahagian daripada komitmen negara terhadap misi pengaman antarabangsa di bawah PBB. Sepanjang terlibat dalam penugasan tersebut sehingga ke hari ini MALBATT diiktiraf pasukan yang menjalankan tanggungjawab secara profesional dan berdisiplin tinggi.
Sememangnya perkara itu tidak boleh dinafikan kerana itulah respons yang penulis dapat pada tahun 2014 ketika membuat liputan kerja Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Kem Marakah yang menjadi Ibu Pejabat MALBATT-850-1, di Selatang Lubnan.
Walaupun MALBATT pernah menempuh beberapa kejadian sepanjang penugasan di negara yang sedang bergolak itu namun cabaran MALBATT-850-13 lebih getir. pasukan itu berhadapan dengan negara pengganas Israel yang sekelumitpun tidak akan dan tidak mungkin menghormati undang-undang antarabangsa.
Peristiwa tiga anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) terbunuh dan lima lagi cedera dalam kejadian pada 29 Mac, 30 Mac dan 1 April akibat keganasan Israel membuktikan Lubnan bukan lagi medan mewujudkan keamanan. Sebaliknya ia sudah bertukar menjadi medan perang antara Israel dan Hezbollah.
Oleh itu kehadiran MALBATT mesti dikaji semula. Tidak ada apa-apa lagi keperluan untuk MALBATT berada di sana dan berhadapan dengan risiko rejim Zionis yang kini dianggap negara paling berkuasa di dunia.
‘’Paling berkuasa’ memandangkan Israel yang diketuai penjenayah antarabangsa Benjamin Netanyahu telah memusnahkan Gaza dan membunuh rakyat Palestin, Israel menyerang Iran melalui pakatan jahat dengan Amerika Syarikat yang dipimpin oleh Donald Trump – seorang pemimpin yang sedang berhadapan dengan ‘kecelaruan fikiran’ – dan terkini menyerang habis-habisan serta membunuh lebih 200 rakyat Lubnan.
PBB tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang Israel. Gugurnya tidak anggota TNI menjadi buktikan PBB tidak ada keupayaan mempertahankan anggota-anggota tentera yang bergabung dalam UNIFIL.
Oleh itu langkah Malaysia memohon kepada PBB untuk menyemak semula terma penugasan MALBATT 850-13 di Lubnan adalah tepat.
Seperti mana kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan keadaan semasa di Lubnan tidak lagi selamat untuk misi pengaman, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan lebih 500 anggota MALBATT 850-13 yang berada di sana.
“Keadaan di Lubnan sekarang ini tidak lagi berasaskan kepada misi pengaman. Pasukan itu (Malbatt) merupakan pasukan pengaman, tapi dah perang di sana, jadi saya sudah berbincang dengan Kementerian Pertahanan (mengenai perkara itu).
“Jika keadaan sebegini, kita nak minta supaya PBB menyemak semula terma atau tarikh matangnya supaya kita tidak mahu anggota tentera yang merupakan anggota pasukan pengaman ini terdedah atau tercedera,” katanya di Seremban, semalam.
Ketegasan Mohamad dan Malaysia dalam soal ini amat tepat. Kerajaan tidak boleh lagi berkompromi atau mempertaruhkan nyawa anggota-anggota MALBATT kerana terbukti PBB tidak akan mampu melindungi anggota-anggota yang bergabung dalam UNIFIL.
Penulis memahami misi pengaman berkenaan dijadualkan tamat hujung tahun ini dan Malaysia tidak boleh membawa pulang anggota terbabit secara unilateral kerana penugasan tersebut berada di bawah mandat PBB, namun Malaysia perlu memberi isyarat yang tegas kepada PBB untuk membawa pulang segera anggota MALBATT.
Ia kerana seperti mana kata Mohamad ‘’…ia tidak selamat lagi, kita tidak mahu anggota pengaman Malaysia atau negara lain tercedera atau terbunuh.’’
Sememangnya keadaan di Lubnan tidak selamat lagi. Misi pengaman sudah tidak sesuai dilaksanakan di negara tersebut kerana pengganas Zionis tidak peduli pun apa juga kata PBB.
Kalau Israel patuhi arahan PBB, sudah pasti Gaza tidak dihancurkan,sudah tentu berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin tidak akan dibunuh, Iran tidak akan diserang dan dunia tidak akan menyaksikan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis di Lubnan.
Kalau begitulah keadaannya apa guna MALBATT terus bertahan di Lubnan…bawa pulang sahaja mereka. Jika Malaysia berbuat demikian bukanlah bermakna negara kita tidak menghormati PBB.
Jika tidak hormati badan dunia itu, sudah tentu Malaysia yang menyertai misi PBB sejak 1960 bermula di Congo menolak misi UNIFIL sejak 2007.
Langkah membawa pulang MALBATT ini adalah untuk memastikan tiada anggota MALBATT yang cedera atau terbunuh akibat kelemahan PBB yang berfungsi bukannya sebagai PERTUBUHAN tetapi PEMERHATI Bangsa-Bangsa Bersatu.
Hanya memerhati, mengecam dan mengutuk.. Itu sahaja tiada apa-apa tindakan. Jadi elok sangat bawa balik saja anggota MALBATT.


