POLIS sedang giat mengesan seorang tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum operasi mengesan lelaki tersebut segera dijalankan.
“Polis dan Jabatan Penjara sedang mengesan lelaki dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, dan gerakan mencari dipergiatkan termasuk di kawasan berhampiran selain memperluas tindakan lain bagi menjejaki suspek.
“Lelaki itu kali terakhir dilihat memakai baju-T berwarna oren dan berseluar panjang hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Hafiz, lelaki itu menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan berkaitan imigresen.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati memandangkan banduan terbabit mempunyai rekod kesalahan seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.
Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhendran Chandra di talian 010-430 4383 atau Inspektor Azamuddin di talian 016-566 1597.
Orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan operasi polis serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.


