OP Hazard 3.0 yang dijalankan secara bersepadu seluruh negara sejak 6 April lalu merekodkan rampasan dan sitaan keseluruhan mencecah RM582 juta membabitkan 515 individu ditahan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi berskala nasional itu dilaksanakan bagi membanteras aktiviti haram berkaitan sisa elektronik atau e-waste.
“Sebanyak 110 serbuan dijalankan di 11 negeri dengan 110 lokasi sasaran.
“Daripada jumlah itu, 42 premis dikenal pasti sebagai kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Ketua Pasukan, Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abdul Majid.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, sebanyak 868 individu diperiksa dalam operasi berkenaan manakala 515 daripadanya ditahan termasuk warga asing dan kesemua mereka berusia antara 16 hingga 70 tahun.
“Jumlah rampasan dan sitaan dalam operasi itu merangkumi e-waste sebanyak 6,378 tan dengan nilai RM455 juta, selain produk akhir 377 tan (RM7.4 juta), barang lusuh sebanyak 1,925 tan (RM11.6 juta) serta lain-lain rampasan bernilai RM107 juta.
“Keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM582 juta,” katanya.
Beliau berkata, hasil operasi dijalankan sejumlah 74 kompaun dikeluarkan membabitkan jumlah RM110,700 selain dua kertas siasatan dibuka di bawah AMLA.
“Tujuh akaun individu dan syarikat dibekukan dengan nilai keseluruhan RM670,981.94,” katanya.
Mohd Khalid berkata, sejumlah 24 kertas siasatan turut dibuka Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), manakala 223 kes dibuka hasil pemeriksaan dan serbuan dijalankan atas pelbagai kesalahan yang dikesan mengikut beberapa undang-undang.
Antaranya, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Tambah beliau, operasi bersepadu ini memberi impak besar dalam mengekang aktiviti e-waste haram di negara ini, terutama dalam memberi tekanan kepada pemain industri haram serta menutup ruang kelompongan perundangan melalui penguatkuasaan lebih menyeluruh.
“Kerjasama antara agensi juga berjaya melumpuhkan rangkaian jenayah bersindiket melalui tindakan lebih bersepadu,” katanya.
Beliau turut menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit aktiviti haram itu, dengan kegiatan yang mengancam keselamatan negara, kesihatan rakyat dan kelestarian alam sekitar tidak akan dikompromi.
“Orang ramai diseru menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan e-waste haram,” katanya.


