SEBUAH tongkang kargo Iran terkena serangan peluru berpandu Amerika Syarikat di Teluk Oman awal pagi Khamis, menurut pengesahan Gabenor Daerah Sirik, Iran.
Tongkang yang membawa barangan keperluan itu dilaporkan sedang dalam perjalanan dari bandar Khasab di Oman, merentasi Selat Hormuz menuju ke bandar Sirik di Iran apabila ia diserang, kata Gabenor Reza Shahidian.
Beliau berkata kapal tersebut “terkena serangan peluru musuh kira-kira lima batu nautika dari Khasab”, sambil menambah bahawa kapal seberat 150 tan itu membawa lima anak kapal yang kesemuanya berjaya diselamatkan dengan bantuan kapal-kapal yang berada berhampiran sebelum dipindahkan ke Oman.
Insiden itu berlaku ketika Amerika Syarikat dan Iran saling melancarkan serangan untuk malam kedua berturut-turut.
Komando Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Khamis mengumumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan serangan udara terhadap “pelbagai sasaran di Iran”.
Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan bahawa serangan balas telah dilancarkan terhadap kepentingan tentera Amerika Syarikat di rantau itu, termasuk pangkalan tentera di Kuwait, Bahrain dan Jordan.
Tentera Iran turut mengarahkan penutupan penuh Strait of Hormuz kepada semua kapal, termasuk kapal tangki minyak dan kapal dagang.
Imej yang dikongsi oleh Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) serta beberapa media lain menunjukkan kapal berkenaan sebahagiannya tenggelam di perairan tersebut.






