MARKAS Pusat Khatam al-Anbiya mengarahkan penutupan Selat Hormuz yang strategik sejurus selepas gelombang baharu serangan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran.
“Mulai saat ini, disebabkan ketidakstabilan keselamatan di rantau ini, Selat Hormuz diisytiharkan ditutup kepada semua kapal, termasuk kapal tangki minyak dan kapal dagang, dan sebarang pergerakan akan menjadi sasaran,” kata unit perintah operasi tertinggi Iran dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal Khamis.
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perkapalan terpenting di dunia, dengan sekitar 20% bekalan minyak global serta hampir 40% import minyak Malaysia melalui laluan tersebut.
Markas itu menyatakan bahawa arahan tersebut dikeluarkan “susulan tindakan pencerobohan berterusan oleh Amerika Syarikat yang bersifat jenayah dan berikutan bermulanya serangan oleh tentera agresif negara itu terhadap beberapa kawasan di wilayah selatan Hormozgan.”
“Dakwaan Amerika Syarikat bahawa kapal-kapal masih melalui selat berkenaan adalah ditolak,” tambah kenyataan itu.
Markas tersebut turut menegaskan bahawa “Angkatan Tentera Republik Islam akan memberikan tindak balas yang keras terhadap sebarang serangan dan tindakan bermusuhan oleh tentera Amerika Syarikat yang agresif dan bersifat pengganas di rantau ini.”
Tehran telah menutup laluan strategik itu kepada musuh dan sekutu mereka sejak 28 Februari lalu, apabila Amerika Syarikat dan rejim Zionis Israel memulakan siri serangan terbaharu mereka terhadap Iran.
Iran mula mengenakan kawalan yang jauh lebih ketat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan penerusan sekatan laut yang disifatkan Iran sebagai haram terhadap kapal dan pelabuhan Iran, walaupun selepas gencatan senjata yang diumumkan sendiri oleh Trump pada 7 April lalu.
Kor Pengawal Republik Islam Iran (IRGC) turut mengeluarkan kenyataan berasingan pada Khamis yang mengumumkan bahawa mereka telah menyerang dua buah kapal yang cuba menyeberangi laluan perairan itu secara haram.
Tentera Laut IRGC turut menegaskan bahawa laluan perairan tersebut “akan ditutup sehingga diberitahu kelak.”
“Berkuat kuasa serta-merta, Selat Hormuz ditutup sepenuhnya,” menurut kenyataan itu sambil menambah, “Sebarang pergerakan kapal di Selat Hormuz akan ditangani dengan tindakan tegas.”
“Kami memberi amaran bahawa tiada kapal dibenarkan meninggalkan lokasi berlabuh masing-masing di Teluk Parsi atau Laut Oman. Sebarang pendekatan ke Selat Hormuz akan dianggap sebagai kerjasama dengan musuh,” tegas Tentera Laut IRGC.






