SEORANG cef sebuah hotel di Port Dickson dihukum penjara lima hari dan denda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki lebih 8,000 bahan pornografi dewasa dan kanak-kanak di dalam telefon bimbit dan peranti elektronik miliknya, Isnin lalu.
Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu terhadap Mohamad Saiful Ashraf Jaafar, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, Mohamad Saiful Ashraf didakwa memiliki bahan tersebut iaitu enam video di dalam pemacu pena (pendrive) manakala 23 gambar dan 100 video lucah lagi di dalam unit pemprosesan pusat (CPU) komputer miliknya.
Selain itu, tertuduh juga memiliki bahan lucah yang dijumpai di dalam alat perantinya di sebuah rumah di Taman Politeknik, Port Dickson pada 6 April lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman minimum kerana hanya bekerja membantu bapanya berniaga roti canai dan kini tinggal bersama ibu serta kakaknya sekeluarga.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang setimpal dengan mengambil kira fakta kes bahawa pemeriksaan semua peranti elektronik yang dirampas daripada tertuduh menjumpai 8,129 bahan pornografi disyaki dewasa dan kanak-kanak.
Tertuduh turut merayu dikenakan hukuman ringan selain mempunyai anak berusia enam bulan yang mempunyai masalah jantung berlubang. Tambahnya, dia juga perlu menanggung isteri, ayah dan adik-beradik lain.
Pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan serius.
Hakim Datin Surita kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima hari dari tarikh tangkapan iaitu 6 April lalu dan denda RM8,000 bagi pertuduhan pertama serta RM3,500 bagi pertuduhan kedua.
Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, lelaki itu boleh dihukum penjara tambahan tiga bulan bagi setiap pertuduhan.


