SEORANG wanita hamil sembilan bulan dan ibunya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak perempuan sehingga cedera pada paha dan kemaluan, awal tahun ini.
A Saranya, 28, dan R Saroja, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan, dua beranak itu didakwa secara bersama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan telah menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada bahagian paha dan kemaluan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di sebuah rumah di Jalan Pudu Impian, Kuala Lumpur antara Februari hingga 3 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ravendejit Kaur tidak menawarkan sebarang jaminan.
“Namun, jika mahkamah benarkan suatu jaminan. Pihak pendakwaan mencadangkan RM30,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis sekali setiap bulan,” katanya.
Peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan suatu jaminan rendah.
Menurutnya, tertuduh pertama iaitu Saranya yang merupakan pengasuh kini sarat sembilan bulan dan dijangka bersalin anak keenamnya pada 20 April depan di hospital.
“Suami tertuduh pertama bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM1,800 sebulan, jumlah jaminan RM30,000 dipohon pendakwaan di luar kemampuan beliau sebagai penjamin.
“Tertuduh kedua pula tidak bekerja, selain menghidap penyakit darah tinggi. Jika tidak dibenarkan jaminan, pasti menyukarkan tertuduh dalam tahanan,” katanya.
Hakim Mazuliana kemudian menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan serta tertuduh dan keluarga tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan keluarga mangsa sehingga kes selesai.
Hakim Mazuliana turut menetapkan sebutan semula kes itu pada 18 Mei depan selain untuk serahan dokumen.


