KERAJAAN sedang mengkaji untuk mengurangkan tekanan kepada beberapa industri dan bidang tertentu yang terkesan akibat kenaikan harga diesel susulan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian berkenaan dibuat bersama beberapa kementerian berkaitan dalam melihat bantuan yang boleh diberikan bagi mengurangkan tekanan terhadap pihak terbabit.
“Subsidi diesel itu diteruskan supaya tidak tertekan. Ada beberapa kalangan yang mereka rasa dengan kenaikan harga diesel itu membebankan.
“Kalau membabitkan soal peladang, petani, nelayan itu sudah dibantu tapi kalau bidang lain itu kita dengan beberapa kementerian sedang mengkaji untuk mengurangkan tekanan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Cheras Baru, Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, terdapat beberapa industri memohon bantuan daripada kerajaan susulan kenaikan harga diesel yang kini mencecah lebih RM6 seliter.
Antara yang tampil memohon bantuan daripada kerajaan ialah Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) yang mendedahkan lebih 100 projek infrastruktur dan pembangunan tidak dapat berjalan berikutan kontraktor sudah ‘mengangkat bendera putih’ susulan kenaikan mendadak harga bahan api ekoran konflik di Asia Barat.
Presidennya, Datuk Azman Yusoff dilaporkan berkata, lebih parah hampir sejuta pekerja yang mempunyai kaitan dengan sektor pembinaan termasuk jurutera, juruteknik dan penyelia juga dikhuatiri hilang pekerjaan, sekiranya konflik peperangan itu berterusan.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, sehingga kini kerajaan berusaha untuk mempertahankan harga RON95 walaupun keadaan kini menyebabkan ia memberi bebanan dari segi tekanan kewangan.
Beliau berkata, rakyat juga diminta untuk memainkan peranan dengan melakukan penjimatan dalam aspek subsidi, sekiranya ada ruang berbuat demikian demi menyelamatkan ekonomi negara.
“Setakat ini kita berusaha untuk mempertahankan harga RON95 ini walaupun dari segi tekanan kewangan sedikit membebankan kerajaan.
“Tapi saya ingat penting juga supaya kita kurangkan bebanan kepada rakyat sebab itu kita minta kerjasama elakkan daripada penggunaan subsidi kalaupun ada ruang untuk jimat, tak semestinya kita guna.
“Maknanya ada sumbangan tiap orang di mana mereka bertanggungjawab menyelamatkan ekonomi negara dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga melalui jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memantau setiap hari perkembangan mengenai kesan konflik di Asia Barat terhadap keadaan ekonomi supaya ia lebih terkawal.
“Ia melihat keseluruhannya, termasuk mengenai kekuatan tenaga dan Jemaah Menteri tentulah pantau dari hari ke hari mengenai perkembangan supaya lebih terkawal dalam keadaan ekonomi sekarang.
“Ada beberapa isu dibangkitkan termasuk apakah boleh bertahan harga RON95,” tambah beliau.


