SINDIKET penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) tumpas apabila dalang utama yang dikenali sebagai ‘geng Borhan’ ditahan sekali lagi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek dilaporkan tidak serik meneruskan aktiviti haram berkenaan walaupun pernah ditahan sebelum ini.
‘’Penahanan itu hasil operasi Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama JIM Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
“Pasukan operasi pada mulanya memberkas dua lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penerima atau ‘receiver’. Hasil soal siasat ke atas mereka membawa kepada serbuan di sebuah premis kediaman yang dipercayai dijadikan sebagai rumah penampungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki sebagai dalang atau ‘mastermind’ sindiket berkenaan.
“Dua lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai pengangkut atau ‘transporter’ juga ditahan. Turut ditahan 22 warga asing yang diseludup, terdiri daripada dua lelaki warga India, tiga lelaki warga Bangladesh, serta lapan lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar.
“Secara keseluruhannya, seramai 27 individu berusia antara 13 hingga 42 tahun ditangkap dalam operasi khas berkenaan,” katanya.
Zakaria berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket itu menukar taktik dengan membawa masuk PATI melalui laluan pesisir pantai sebelum ditempatkan di rumah penampungan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Selepas itu kata beliau mereka akan dipindahkan oleh ‘transporter’ ke destinasi sekitar Lembah Klang.
“Bagi setiap PATI yang diuruskan, ‘transporter’ akan menerima bayaran upah sebanyak RM100, manakala pihak ‘receiver’ pula mengutip bayaran sebanyak RM250 bagi setiap seorang,” katanya.
Beliau memberitahu, serbuan turut merampas beberapa dokumen dan aset untuk tindakan lanjut.
Lima lelaki tempatan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 dan 22 warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


