Tulip mekar di Cameron Highlands

TULIP yang sinonim dengan negara beriklim sederhana kini kembali mekar dan mencuri perhatian pengunjung di Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cameron Highlands apabila ditanam dalam persekitaran tropika negara ini.

Lebih menarik, sebanyak 1,500 pokok tulip dengan empat warna ditanam tahun ini berbanding hanya 300 bebawang ketika projek itu mula diperkenalkan pada 2022, sekali gus menunjukkan perkembangan positif inisiatif berkenaan.

Pengurus Ladang MARDI Cameron Highlands, Nur Shahirah Jahuri berkata, penanaman tulip diperkenalkan bagi memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung tempatan yang sebelum ini hanya melihat bunga tersebut di luar negara.

Nur Shahirah Jahuri.

“Taman Agro Teknologi MARDI Cameron Highlands ini merupakan sebuah pusat sehenti (one stop centre) agropelancongan, yang menghimpunkan pelbagai taman di Cameron Highlands dalam satu lokasi, termasuk tarikan seperti Hobbit, Taman Inggeris, Mini Cameron serta aktiviti ternakan, selain tanaman buah-buahan subtropika seperti anggur, epal dan buah tin.

“Salah satu sebab utama kita menanam tulip adalah untuk membawa pengalaman berbeza kepada pengunjung tempatan, kerana sebelum ini bunga ini hanya dapat dilihat di luar negara, namun kini mereka boleh melihat tulip sebenar di depan mata,” katanya ketika ditemui media di Taman Agro Teknologi MARDI Cameron Highlands.

Keistimewaan tulip terletak pada keunikan dan keindahannya yang jarang ditemui di Malaysia.

Beliau berkata, projek penanaman tulip akan terus difokuskan di Cameron Highlands berikutan faktor ketinggian dan suhu yang lebih sesuai walaupun terdapat potensi untuk diperluaskan ke kawasan tanah tinggi lain.

“Buat masa ini, penanaman tulip akan dikekalkan di Cameron Highlands disebabkan faktor altitud dan suhu semasa yang lebih sesuai. Walaupun terdapat kawasan lain seperti Bukit Fraser dan Sabah yang mempunyai suhu sejuk, Cameron Highlands ingin dikekalkan sebagai destinasi yang boleh dikunjungi setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, kehadiran tulip turut memberi impak ketara terhadap jumlah pengunjung apabila meningkat daripada sekitar 500 hingga 700 orang sehari kepada antara 1,400 hingga 2,000 orang sehari sepanjang musim berbunga.

Pengunjung menikmati keindahan tulip sepanjang musim berbunga.

“Pada hari biasa tanpa tulip, jumlah pengunjung sekitar 500 hingga 700 orang sehari, namun dengan kehadiran bunga ini, ia meningkat kepada antara 1,400 hingga 2,000 orang sehari,” katanya.

Mengulas cabaran, beliau berkata faktor suhu menjadi aspek paling kritikal memandangkan tulip berasal dari iklim sederhana berbanding iklim tropika negara.

“Cabaran utama penanaman tulip di Cameron Highlands adalah berkaitan suhu kerana bunga ini berasal daripada iklim sederhana, manakala Malaysia beriklim tropika yang panas dan lembap, justeru kawalan suhu amat penting untuk memastikan tulip dapat berbunga,” katanya.

Menurutnya, peningkatan suhu turut memberi kesan kepada tempoh ketahanan bunga apabila ia kini hanya mampu bertahan sekitar 10 hari berbanding sehingga 14 hari sebelum ini.

“Berdasarkan pemerhatian, tulip mampu bertahan sehingga 14 hari antara 2022 hingga 2024, namun tempoh itu berkurangan kepada sekitar 10 hari bagi tahun 2025 dan 2026, sekali gus menunjukkan peningkatan suhu memberi kesan ketara kepada tanaman ini,” katanya.

Menurutnya, projek penanaman tulip di taman berkenaan dijalankan secara terkawal menggunakan teknologi seperti rumah hijau, sistem kawalan suhu dan kelembapan serta teknik penyejukan bebawang bagi menyesuaikan tanaman itu dengan iklim tropika negara.

Orang ramai berpeluang menyaksikan keindahan bunga tulip ini sepanjang tempoh pameran yang berlangsung bermula 1 April hingga 16 April 2026.

Tambah beliau, inisiatif itu dilihat mempunyai potensi besar dalam sektor agropelancongan negara kerana mampu menarik lebih ramai pengunjung selain menawarkan pengalaman unik melihat bunga tulip tanpa perlu ke luar negara.

Turut menjadi tarikan ialah ladang teh tertua dan kilang teh pertama di Malaysia yang juga Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Pertanian Hijau, manakala tiket masuk dijual pada harga RM10 bagi dewasa, RM5 bagi kanak-kanak dan warga emas serta percuma untuk golongan Orang Kurang Upaya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img