HUJAN lebat lebih dua jam mengakibatkan banjir kilat di kawasan Habu Heights di Cameron Highlands, petang tadi.
Hujan lebat yang bermula jam 2 petang menyebabkan aliran air lumpur deras dari kawasan tinggi mengalir ke jalan utama Ringlet.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, tiada laporan kemalangan jiwa diterima, namun terdapat dua laporan polis membabitkan dua kenderaan dihanyutkan arus deras.
“Bagaimanapun keadaan terkawal dan air surut sepenuhnya sekitar jam 4 petang,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Azri berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan dan keadaan di lokasi kini kembali selamat untuk dilalui.
Beliau dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya berwaspada ketika hujan lebat serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan kejadian banjir lumpur yang berlaku di Cameron Highlands susulan hujan lebat di kawasan berkenaan.
Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan aliran air berlumpur yang deras menenggelamkan sepenuhnya laluan utama kenderaan.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @farah.ilyanaa, rakaman tersebut turut memperlihatkan beberapa kenderaan tidak dapat melalui laluan berkenaan berikutan arus deras dan paras air yang tinggi.


