POLIS mengesahkan telah menahan seorang lelaki dipercayai kurang siuman susulan beberapa laporan kes cabul di sekitar ibu negara baru-baru ini termasuk video kejadian yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek telah ditahan di hadapan sebuah bank di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 7 April lalu.
Menurut beliau, suspek kemudian direman selama empat hari bermula 7 April lalu hingga Jumaat lalu untuk siasatan lanjut.
“Polis menerima enam laporan berhubung kejadian itu dan menjalankan siasatan berhubung kesalahan mencabul kehormatan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Menurutnya, suspek juga sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta pada Jumaat lalu untuk pertuduhan.
Terdahulu, video memaparkan seorang lelaki didakwa mencabul seorang wanita yang sedang menunggang motosikal berseorangan dirakam seorang pengguna jalan raya tular di media sosial.
Perkongsian hantaran itu meminta orang ramai terutama wanita yang menunggang motosikal sendirian atau berjalan kaki berhati-hati dengan lelaki yang didakwa melakukan kegiatan tidak bermoral.
Perkongsian itu mendakwa rakannya dicabul ketika sedang menunggu lampu isyarat di Jalan Pudu, Kuala Lumpur serta turut mendakwa ada beberapa kes lain membabitkan individu sama.
Hantaran itu mendapat perhatian netizen yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai terutama wanita.


