POLIS mengesahkan telah menahan seorang pekerja kedai jam tangan mewah di Bukit Jalil, yang melarikan 12 koleksi bernilai RM2.6 juta dalam tempoh 24 jam selepas kejadian itu berlaku baru-baru ini.
Menurut polis, suspek juga telah didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara setahun serta sebatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari pada 31 Mac lalu, pekerja lelaki berusia 24 tahun itu mengambil 12 jam tangan mewah pelbagai jenama termasuk Patek Philippe, Rolex dan Richard Mille sebelum melarikan diri.
Menurut sumber, perbuatan suspek terbongkar selepas seorang rakan sekerja menyedari kesemua jam di ruang pameran itu hilang sejurus suspek berada di kawasan penyimpanan sebelum kejadian.
“Pemeriksaan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mengesahkan suspek memasukkan semua jam berkenaan dalam beg galas sebelum beredar dari premis,” kata sumber itu, lapor BH.
Sumber berkata, pekerja terbabit kemudian memaklumkan kepada pengurus kedai itu sebelum majikannya menghubungi suspek bertanya berkaitan kehilangan jam itu, namun tidak mendapat maklum balas.
“Bagaimanapun, jam yang hilang itu berjaya diperoleh semula selepas seorang lelaki yang juga rakan suspek tampil memulangkan beg mengandungi tujuh jam mewah tanpa mengetahui kandungannya.
“Polis kemudian menahan suspek di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 1 April lalu,” katanya.
Susulan itu, sumber berkata, polis merampas jam tangan mewah dan beberapa resit pajak gadai.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan oleh pekerja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan hukuman dikenakan ke atasnya terhadap kesalahan dilakukan.


