Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Setiu hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis palsu terhadap seorang usahawan berhubung dakwaan penipuan hartanah, lima tahun lalu.
Tertuduh, Shahruldi Mahafiz Ramli, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan maklumat bertulis yang diketahuinya palsu dengan mendakwa seorang usahawan, Azlan Al Amin, terlibat dalam penipuan urusan hartanah milik bapanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu pada 2021.
Perbuatan itu dilakukan dengan niat supaya penjawat awam menggunakan kuasanya sehingga mendatangkan kegusaran kepada individu lain.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qayyim Irfan Baharuddin.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan, namun pihak pendakwaan memohon jaminan setimpal dikenakan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Mei bagi penyerahan dokumen.
Pada Disember tahun lalu, Azlan dilaporkan membuat laporan polis balas dengan mendakwa laporan berkenaan berunsur fitnah dan berniat jahat selain memohon siasatan semula dijalankan.


