POLIS Kelantan menegaskan larangan merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok membabitkan semua pihak tanpa pengecualian, termasuk pelajar dan murid sekolah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mana-mana individu yang melanggar arahan itu akan ditahan dan diambil tindakan undang-undang.
“Isu penutupan pangkalan haram sudah lama dikuatkuasakan lebih setahun yang lalu dan sepatutnya semua sudah tahu serta maklum undang-undang berkenaan.
“Saya sudah maklum sebelum ini mana-mana yang mahu rentas sempadan perlu guna laluan sah iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) termasuk pelajar dan murid sekolah.
“Malah, isu pelajar dari Thailand yang bersekolah di Rantau Panjang juga sudah diputuskan dengan beberapa pilihan diberikan sebelum ini.
“Tiada lagi alasan untuk menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
“Berhubung tangkapan sekumpulan pelajar pagi semalam, keluarga pelajar sebenarnya sudah sedia maklum bahawa tidak dibenarkan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah sebaliknya perlu menggunakan laluan sah.
“Justeru saya berharap selepas ini semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tindakan yang dilakukan ini bukan soal saya tegas, sebaliknya ini adalah undang-undang.
“Jika saya membenarkan kumpulan pelajar ini merentas sempadan secara haram, akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kumpulan ini untuk membawa bahan terlarang.
“Malah tindakan saya menutup laluan pangkalan haram termasuk kepada pelajar juga turut dipersetujui Kementerian Pendidikan. Mereka bersetuju dan tidak menghalang,” katanya.
Terdahulu, seramai 34 pelajar dan murid ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 6.30 pagi ketika menggunakan pangkalan haram Jambu untuk ke sekolah di Rantau Panjang.
Difahamkan, kesemua mereka adalah warga Malaysia yang menetap di Thailand dan berulang-alik ke sekolah di Rantau Panjang.


