JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memulakan siasatan susulan tular video memaparkan seorang pemandu bas ekspres didakwa memandu sambil meriba seorang wanita.
Dalam rakaman itu, wanita berkenaan dilihat turut memegang stereng ketika duduk di atas riba pemandu, walaupun bas sedang bergerak di lebuh raya.
Dalam video berasingan yang dipercayai dirakam melalui kamera papan pemuka kenderaan lain turut tular, menunjukkan bas terbabit dipandu secara berbahaya termasuk menyelit di celah kenderaan.
Berdasarkan hantaran di media sosial, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai ketika kejadian berlaku.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan segera diambil sejurus video berkenaan tular.
“Siasatan segera dijalankan susulan video tular itu. Pemandu dan syarikat bas yang terbabit sudah pun dikenal pasti.
“Pemandu berkenaan juga sudah dipanggil untuk diambil keterangan pagi ini,” katanya.
Menurutnya, sebaik siasatan selesai, kes akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana pejabat JPJ berhampiran.
Dalam masa sama, beliau memberi peringatan tegas kepada semua pemandu, khususnya pengendali kenderaan komersial, agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan pengguna lain.


