Oleh Penulis Khas
KENYATAAN bekas Panglima Darat Amerika Syarikat (AS), Leftenan Jeneral Mark Hertling berhubung kemungkinan pegawai tinggi tentera mempertimbangkan untuk “disobeying orders” atau menolak arahan yang disifatkan tidak sah membuka satu ruang refleksi strategik yang mendalam terhadap asas profesion ketenteraan.
Dalam konteks perbincangan global yang turut mengaitkan kepimpinan Donald Trump dan potensi tindakan ketenteraan terhadap Iran adalah isu sebenar yang perlu diperhalusi bukan sekadar polemik semasa tetapi persoalan fundamental sebenar iaitu: apakah sempadan sebenar ketaatan dalam sesebuah angkatan tentera profesional?
Dalam kerangka ketenteraan moden, ketaatan tidak pernah ditakrifkan sebagai kepatuhan mutlak tanpa pertimbangan. Sebaliknya ia adalah ketaatan berdisiplin yang berakar pada Perlembagaan, undang-undang dan nilai profesionalisme.
Prinsip ini menjadi pemisah utama antara angkatan tentera profesional dengan entiti bersenjata yang tunduk sepenuhnya kepada kehendak individu atau kepentingan politik sempit.
Dalam keadaan di mana arahan yang diberikan berpotensi melanggar undang-undang konflik bersenjata atau norma kemanusiaan, anggota tentera tidak sekadar berdepan dilema operasi tetapi ujian integriti paling mendasar.
Realiti ini menuntut satu pengiktirafan bahawa keberanian dalam ketenteraan tidak lagi terhad kepada keberanian fizikal di medan tempur.
Dalam persekitaran keselamatan yang kompleks, keberanian moral iaitu keupayaan untuk mempertahankan prinsip walaupun berdepan tekanan autoriti yang muncul sebagai komponen kritikal dalam kepimpinan ketenteraan.
Keberanian untuk menegaskan bahawa sesuatu arahan adalah tidak sah dan seterusnya bertindak secara profesional untuk membetulkannya, merupakan manifestasi tertinggi kepada sumpah setia terhadap negara.
Sehubungan itu, pembangunan kepimpinan dalam institusi ketenteraan perlu melangkaui dimensi taktikal dan teknikal semata-mata. Ia mesti merangkumi kefahaman mendalam terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, peraturan penggunaan kekerasan serta keupayaan membuat pertimbangan strategik dalam situasi berisiko tinggi.
Tanpa asas ini, ketaatan boleh disalah tafsir sebagai kepatuhan tanpa soal sekali gus membuka ruang kepada tindakan yang menjejaskan legitimasi institusi.
Dalam masa yang sama hubungan antara kepimpinan politik dan ketenteraan perlu ditangani dengan keseimbangan yang matang. Kepercayaan terhadap rantaian perintah adalah asas kepada keberkesanan operasi namun ia tidak boleh mengatasi prinsip undang-undang dan tanggungjawab profesional.
Peranan kepimpinan tentera bukan sekadar melaksanakan arahan tetapi juga memberikan nasihat strategik yang jujur termasuk dalam situasi yang memerlukan keberanian untuk berbeza pandangan demi kepentingan negara.
Dari perspektif strategik yang lebih luas pematuhan terhadap prinsip undang-undang dan etika bukan sahaja menentukan tindakan di medan operasi tetapi turut membentuk persepsi awam dan legitimasi antarabangsa.
Dalam era peperangan maklumat, setiap keputusan ketenteraan berpotensi menjadi naratif global. Tentera yang dilihat berpegang kepada prinsip akan memperoleh kepercayaan manakala sebarang pelanggaran akan membuka ruang eksploitasi propaganda oleh pihak lawan.
Oleh itu, institusi ketenteraan perlu memperkukuh doktrin, prosedur dan mekanisme dalaman yang jelas dalam menangani arahan yang meragukan. Penjelasan ini bukan bertujuan melemahkan disiplin sebaliknya memperkukuhnya melalui asas yang sah dan berprinsip. Ia memastikan setiap tindakan yang diambil bukan sahaja berkesan dari sudut operasi tetapi juga sah dari segi undang-undang dan diterima dari sudut moral.
Kesimpulannya, kekuatan sebenar sesebuah angkatan tentera tidak hanya diukur melalui keupayaan tempur atau kecanggihan aset tetapi melalui integriti dalam membuat keputusan ketika berdepan tekanan yang paling mencabar.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu tentera yang berpegang kepada prinsip, undang-undang dan keberanian moral akan terus menjadi benteng utama kepada kestabilan, kedaulatan dan maruah negara.


