PASUKAN Gerakan Am (PGA) menafikan dakwaan kononnya pihaknya memanggil sekumpulan pelajar untuk merentas sempadan sebelum menahan mereka di pangkalan haram Jambu, Kota Bharu, pagi semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua pelajar dan murid terbabit ditahan selepas didapati merentas sempadan secara haram.
“Tiada istilah kita tahan beberapa pelajar terlebih dahulu dan sebahagian lagi dipanggil untuk merentas sempadan sebelum ditahan.
“Jika benar dakwaan itu, mengapa ibu bapa membenarkan anak mereka menaiki bot sedangkan mereka tahu ada pelajar sudah ditahan,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Beliau menegaskan dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali dan semua tangkapan dibuat selepas pelajar terbabit melakukan kesalahan merentas sempadan secara haram.
Menurutnya, tindakan pelajar berkenaan jelas menyalahi undang-undang kerana mereka yang menetap di Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang sepatutnya berada di asrama seperti ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Pemantauan hari ini mendapati Sungai Golok lengang tanpa sebarang pergerakan pelajar menggunakan pangkalan haram.
“Kita akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang merentas sempadan secara haram,” katanya.
Terdahulu, timbul dakwaan dalam kalangan ibu bapa bahawa sebahagian pelajar ditahan selepas dipanggil oleh anggota PGA dari sebelah Thailand untuk merentas sempadan.
Semalam, seramai 34 pelajar dan murid dari Thailand ditahan pada jam 6.30 pagi ketika menggunakan pangkalan haram Jambu untuk ke sekolah di Rantau Panjang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada malam hari sama.


