Oleh Shahbudin Embun
BARU-baru ini, penulis tersohor negara, Adibah Amin, telah diraikan dalam sebuah majlis penuh penghormatan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Majlis tersebut bukan sekadar simbol penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau, malah turut membawa misi kemanusiaan – mengumpul dana bagi menampung kos rawatan dan penjagaan beliau yang kini kurang sihat.
Pada majlis itu, buku As I Was Passing turut dilancarkan semula—sebuah karya koleksi tulisan beliau yang dekat dengan denyut nadi kehidupan rakyat Malaysia. Setiap kisah ditulis bukan sekadar catatan biasa, tetapi cerminan jiwa masyarakat yang dihidupkan dengan sentuhan penuh rasa.
Umum mengenali Adibah sebagai seorang penulis, penterjemah, pendidik dan juga pelakon luar biasa. Keistimewaan beliau bukan sahaja pada kepelbagaian bakat, tetapi pada keupayaan menyentuh hati tanpa perlu bergantung kepada bahasa yang berat atau retorik berlebihan. Dalam kesederhanaan bahasanya, tersembunyi kekuatanluar biasa.
Melalui kolum As I Was Passing yang diterbitkan dalam akhbar New Straits Times di bawah nama pena Sri Delima, beliau bukan sahaja memikat pembaca, malah secara halus mendidik mereka—terutamanya mereka yang baru ingin mendekati bahasa Inggeris. Gaya penulisa yang bersahaja tetapi penuh pesona menjadikan setiap kisah terasa hidup, dekat, dan bermakna.
Secara peribadi, saya berasa amat bertuah kerana berpeluang mengenali beliau dengan lebih dekat melalui hubungan saya dengan anak saudaranya, Amin Shakib—bekas wartawan yang kini masih aktif dalam penulisan skrip drama dan dokumentari.
Sepanjang pemerhatian saya, Adibah ialah seorang insan yang sangat merendah diri dan mudah didekati. Beliau sentiasa tersenyum, malah sering menjadi orang pertama yang menegur—membuatkan sesiapa sahaja terasa dihargai. Dalam setiap perbualan, beliau mendengar dengan penuh teliti dan sentiasa menghormati pandangan orang lain.
Dari sudut penulisan pula, beliau menulis dengan penuh ketulusan—cukup dengan pen dan kertas, tanpa bergantung kepada teknologi. Seolah-olah setiap patah kata mengalir terus dari hati, tanpa paksaan, tanpa kepura-puraan.
Lebih mengagumkan, walaupun telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, tiada satu pun dipamerkan di rumahnya. Difahamkan, kesemuanya disimpan rapi di kediaman keluarganya di Johor Bahru—dihargai, tetapi tidak ditonjolkan. Di sinilah terletaknya keindahan peribadi seorang Adibah Amin: besar pada karya, kecil pada diri.
Saya sendiri sering tertanya-tanya, malah pernah menyuarakan pandangan mengapa beliau belum diangkat sebagai Sasterawan Negara. Namun, bagi Adibah, pengiktirafan bukanlah matlamat utama. Kepuasan sebenar beliau terletak pada kemampuan tulisannya menyentuh hati, memberi kesan, dan menghiburkan pembaca.
Hakikatnya, terlalu banyak yang boleh diceritakan tentang insan istimewa ini. Dan saya percaya, kisah beliau tidak akan pernah habis ditulis kerana Adibah Amin bukan sekadar seorang penulis – beliau adalah jiwa yang menulis untuk manusia, bukan untuk nama.
*Penulis adalah Penganalisis Politik


