SEBANYAK 68,692 liter petrol bersubsidi dirampas dalam 153 kes penyelewengan dan penyeludupan bahan api yang dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak Mac lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, rampasan itu dilakukan dalam tempoh 16 Mac hingga 3 Jun lalu hasil operasi bersepadu yang dijalankan di beberapa negeri termasuk kawasan sempadan negara.
“Daripada keseluruhan 740 kes yang direkodkan dalam tempoh berkenaan, sebanyak 153 kes membabitkan penyalahgunaan dan penyelewengan petrol dengan rampasan sebanyak 68,692 liter bahan api itu,” katanya.
Azman berkata, tindakan penguatkuasaan termasuk pemeriksaan di stesen minyak dan premis perniagaan bagi mengesan pembelian, penyimpanan serta penyalahgunaan petrol bersubsidi secara haram.
Beliau berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 59,965 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara.
“Kementerian akan terus komited membanteras penyeludupan bahan api bersubsidi menerusi pelbagai aktiviti penguatkuasaan.
“Pemeriksaan turut dipertingkatkan di kawasan sempadan dan laluan haram yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi bagi aktiviti penyeludupan,” katanya.
Azman berkata, KPDN turut memperkukuh usaha risikan bagi mengesan dan membanteras kegiatan sindiket yang terlibat dalam penyelewengan bahan api bersubsidi.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit bagi memastikan ketirisan subsidi dapat dibendung serta kepentingan negara terus terpelihara.
Sementara itu, tinjauan di Pengkalan Kubor mendapati kegiatan mengisi petrol bagi tujuan penyeludupan masih berlaku di beberapa stesen minyak di daerah itu.
Malah, sebahagian individu dipercayai mengubah suai tangki kenderaan pikap bagi membolehkan kapasiti simpanan bahan api lebih besar daripada spesifikasi asal.






