Scammer makin licik, menyamar wakil NSRC perangkap mangsa kali kedua

SINDIKET penipuan kini dikesan semakin licik apabila menawarkan khidmat mendapatkan semula wang mangsa dengan menyamar sebagai wakil Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sindiket terbabit menggunakan modus operandi mengiklankan perkhidmatan itu di Facebook sebelum menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, suspek kemudian mendakwa boleh membantu mendapatkan semula wang yang hilang, namun mengenakan bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan.

“Mangsa yang mempercayai tawaran tersebut, kemudian membuat beberapa transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza seperti yang diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ni.

Beliau berkata, mangsa seterusnya akan terus diminta membuat bayaran tambahan tanpa menerima sebarang pemulangan wang seperti dijanjikan sebelum menyedari mereka ditipu.

“Berdasarkan rekod JSJK, sebanyak enam kes penipuan membabitkan tawaran mendapatkan semula wang mangsa direkodkan bagi tempoh 2025 hingga Mac 2026 dengan jumlah kerugian keseluruhan RM68,491.

“Ia melibatkan beberapa kontinjen termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu, dengan kebanyakannya mangsa ditipu kali kedua,” katanya.

Rusdi menegaskan tiada mana-mana pihak boleh menjanjikan pemulangan wang yang ditipu secara mudah, lebih-lebih lagi dengan mengenakan bayaran pendahuluan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran sedemikian serta sentiasa membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Mana-mana pihak yang menjadi mangsa penipuan dinasihatkan untuk segera menghubungi national scam response centre (NSRC) di talian 997 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img