SEORANG penganggur berusia 31 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 200 bahan pornografi kanak-kanak dalam peranti miliknya.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM5,000 terhadap tertuduh, Tengku Muqriz Shah Tengku Shahdizan, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 209 video pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbit miliknya kira-kira jam 3 petang di sebuah rumah di Jalan Merpati 2, Kampung Serting Ulu, Batu Kikir, pada 7 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).
Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, polis menahan lelaki itu di lokasi dan waktu sama sebelum merampas telefon bimbit miliknya untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan mendapati peranti berkenaan mengandungi 209 video pornografi kanak-kanak serta 292 video pornografi dewasa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dan pencegahan memandangkan kesalahan itu serius serta melibatkan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
Dalam rayuannya, tertuduh yang dibantu bapanya memaklumkan dia tidak mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja selain memaklumkan sebelum ini bekerja sebagai ‘housekeeping’ di sebuah hotel di Johor Bharu.
Katanya, ini adalah kesalahan kali pertama dan mendakwa tidak mengetahui bahawa perbuatannya itu adalah satu kesalahan yang serius.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 7 April lalu dan jika gagal bayar denda, boleh dipenjara selama lima bulan. Tertuduh membayar denda.