SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan memiliki 3,000 liter minyak diesel tanpa lesen sah, April lalu.
Tertuduh, M Saravanan, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati memiliki barang kawalan berjadual iaitu 3,000 liter minyak diesel yang berada di dalam sebuah lori dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Air Jernih, kira-kira jam 5.50 petang pada 24 April lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), M Selvaraju dan Mohd Izzat Arif menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan tidak bekerja selain ibu bapanya sudah meninggal dunia.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Jun depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.


