SEORANG pemuda melecur selepas disambar api apabila botol plastik berisi petrol yang dibawanya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 48 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Sungai Lias, Sungai Besar, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 19 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa membuat pusingan U dari pekan Sungai Besar menghala ke Klang.
Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah stesen minyak sebelum motosikalnya hilang kawalan.
“Motosikal itu kemudian melanggar ‘mainhole’ konkrit di bahu jalan sebelah kiri menyebabkan mangsa terjatuh.
“Pada masa sama, botol berisi petrol yang dibawa terbakar ketika motosikal terseret lalu menyambar bahagian badan serta paha mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Buletin TV3.
Md Yusof berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada muka, badan dan kaki dengan kesan melecur kira-kira 9.5 peratus.
Menurutnya, mangsa kini menerima rawatan dan dilaporkan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/69 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Sarjan Mohd Termizi Zulkopli di talian 014-8670835 bagi membantu siasatan.


